BANGKOK, 24 Januari:

Pihak berkuasa di daerah Pak Phanang, selatan Thailand akan membawa pakar penerbangan untuk memeriksa serpihan dipercayai daripada pesawat yang ditemui di pantai Nakhon Si Thammarat.

Pegawai Polis Daerah Pak Phanang, Sub Lt It Paijit Pongkaew berkata, serpihan itu akan dibawa ke balai polis daerah itu, bagi membolehkan pakar penerbangan dan tentera udara negara itu memeriksanya.

“Kami kini dalam proses menghubungi pihak berkuasa berkaitan dan juga tentera udara, untuk membolehkan mereka memeriksa dengan lebih teliti serpihan dipercayai daripada pesawat itu,” katanya kepada Bernama menerusi telefon dari Pak Phanang, hari ini.

Serpihan yang ditemui itu, katanya, telah ditempatkan di kediaman Ketua Sub-daerah di Pak Phanang, atas faktor keselamatan, sebelum dipindahkan ke balai polis.

Semalam, penduduk kampung yang tinggal di kawasan pantai Nakhon Si Thammarat, di selatan Thailand, melaporkan penemuan satu objek logam besar yang dipercayai daripada pesawat, berukuran dua meter lebar dan tiga meter panjang.

Penemuan serpihan yang dipercayai daripada pesawat di pantai selatan Thailand itu, telah mendorong media negara gajah putih itu membuat spekulasi mungkin ia ada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, pada 8 Mac 2014.

Penerbangan itu membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Menurut It Paijit, walaupun serpihan yang ditemui di pantai Nakhon Si Thammarat itu menyerupai bahagian pesawat, beliau bagaimanapun tidak dapat
memastikannya, tanpa mendapatkan nasihat daripada pakar.

“Ia (serpihan) memang kelihatan seperti daripada pesawat, tetapi biar pakar periksa objek itu terlebih dahulu,” katanya sambil menambah, proses untuk memindahkan serpihan itu ke balai polis daerah akan mengambil masa dua jam.