JAKARTA, 19 Januari:

Penduduk kampung di Indonesia membantah mayat dua penyerang Jakarta pada minggu lalu, dikebumikan di kampung mereka.

Memetik laporan Utusan Malaysia, jenazah Ahmad Muhazan dari Desa Kedungwungu, Kabupaten Idramayu, Jawa Barat dan jenazah Afif @Sunakim dari Desa Kalensari, Subang, Jawa Barat ditolak oleh penduduk kampung masing-masing apabila keluarga mereka merancang untuk menguburkan jenazah berkenaan di kampung mereka.

Ahmad Muhazan atau Azan terbunuh di dalam restoran Starbucks akibat bom bunuh diri, manakala Afif pula dipercayai terbunuh apabila bom yang dibawanya meletup semasa insiden berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan di kawasan meletak kenderaan di luar restoran berkenaan.

Penduduk Desa Kedungwungu berhimpun di hadapan rumah ibu bapa Azan selepas mengetahui kejadian tersebut sambil membawa poster membantah jika jenazah lelaki berusia 26 tahun itu dikebumikan di kampung berkenaan.

“Penduduk menolak dikebumikan di desa ini kerana menganggap perbuatan Azan sudah menjejaskan nama baik desa dan menyalahi ajaran agama,’’ tokoh masyarakat setempat, Abul Muiz Afandi seperti yang dipetik media online Indramayutrust.com.

Sementara itu, penduduk kampung Afif di Desa Kalensari juga membantah sekiranya jenazah lelaki itu dikebumikan di kampung berkenaan kerana menganggap dia telah menconteng arang ke muka penduduk kampung dengan tindakannya itu.

Mereka meminta supaya jenazah Afif dikuburkan di mana sahaja asalkan bukan di kampung tersebut.

Sehingga kini, jenazah kedua-dua penyerang tersebut masih berada di hospital di sini untuk urusan siasatan dan belum diketahui bila akan dihantar ke kampung halaman masing-masing.