NEW DELHI, 4 Januari:

Sekurang-kurangnya tiga maut, manakala 30 lagi cedera, susulan gempa kuat berukuran 6.7 skala Richter melanda timur laut India yang bersempadanan dengan Myanmar, Bangladesh dan Bhutan, kira-kira jam 4.35 pagi waktu tempatan (7.05 pagi tadi waktu Malaysia).

Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan India (NDRF) telah dikerahkan ke kawasan bencana, dengan Jabatan Meteorologi India memaklumkan, pusat gempa itu berada pada kedalaman 17 kilometer dan 29 kilometer di barat Imphal, Manipur.

Pihak berkuasa tempatan melaporkan, gegaran dapat dirasai di beberapa negeri, iaitu Manipur, Assam, Arunachal Pradesh, Mizoram dan Tripura.

Pejabat Perdana Menteri, Narendra Modi dalam satu kenyataan memberitahu, Menteri Dalam Negeri, Rajnath Singh telah mengarahkan pihak berkaitan menyediakan bantuan kecemasan kepada mangsa terjejas.

Menurut kenyataan itu, Modi telah menghubungi Ketua Menteri Assam, Tarun Gogoi dan Arunachal Pradesh, Nabam Tuki.

Polis dan pasukan bantuan di Imphal, Manipur melaporkan, dinding-dinding, tangga serta bumbung beberapa bangunan turut runtuh.

Beberapa bangunan juga dilaporkan mengalami kerosakan, termasuk hospital, dengan jumlah mangsa dijangka meningkat.