BEIJING,  21 Disember:

Sekurang-kurangnya 91 mangsa dilaporkan hilang, selepas 33 bangunan ditimbus runtuhan lumpur dan sisa bahan binaan, di Taman Perindustrian Hengtaiyu, di selatan China, semalam.

Daripada jumlah itu, 59 orang ialah lelaki, manakala 32 lagi wanita.

Susulan itu, Perdana Menteri China, Li Keqiang mengarahkan satu siasatan rasmi dijalankan ke atas insiden tanah runtuh yang berlaku di bandar Shenzhen, wilayah Guangdong itu.

Li turut mengarahkan pegawai kerajaan pusat membantu pihak berkuasa Shenzhen dalam misi mencari dan menyelamat.

Setakat ini, lebih 2,000 anggota penyelamat dikerahkan ke tempat kejadian, dengan dibantu anjing pengesan dan dron.

Sebanyak 14 kilang, 13 bangunan rendah dan tiga asrama antara bangunan yang ranap dalam kejadian itu.

Ini adalah tragedi industri terbaru, empat bulan selepas letupan besar bahan kimia di bandar pelabuhan Tianjin, yang meragut lebih 160 nyawa.

Menurut seorang penduduk kampung, Peng Jinxin yang dipetik agensi berita Xinhua, lumpur itu kelihatan seperti “ombak besar” yang menyebabkan mereka bertempiaran untuk menyelamatkan diri.

runtuh
Anggota penyelamat membawa peralatan memasuki tempat kejadian, untuk mencari mangsa terperangkap di bawah runtuhan bangunan di Shenzhen. – Foto Reuters

Seramai 14 orang berjaya diselamatkan, dengan lebih 900 lagi telah dipindahkan dari tempat kejadian, menjelang petang semalam.

Tanah dan lumpur itu telah menutupi kawasan berkeluasan lebih 60,000 meter persegi dan setinggi enam meter di sesetengah bahagian.

Kementerian Sumber-sumber Tanah menyalahkan tragedi itu atas timbunan sisa lumpur binaan dalam kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, satu bahagian saluran paip gas asli utama Barat-Timur turut meletup, meskipun tidak jelas jika ia mempunyai sebarang impak terhadap tanah runtuh itu.

Menurut Xinhua, saluran paip gas itu yang dimiliki PetroChina, pengeluar gas dan minyak utama di China, sepanjang 400 meter panjang telah dikosongkan dan satu saluran paip sementara akan dibina.