JAKARTA, 8 Oktober:

Indonesia telah meminta bantuan empat negara termasuk Malaysia untuk memadam kebakaran hutan dan ladang di republik itu yang mengakibatkan berlaku jerebu sehingga menjejaskan beberapa negara jirannya sejak dua bulan lepas.

Portal media tempatan memetik Presiden Joko Widodo sebagai berkata hari ini, Indonesia telah menghubungi kerajaan Malaysia, Singapura, Rusia dan Jepun untuk membantu memadamkan api terutamanya di kawasan tanah gambut yang didapati masih sukar dipadamkan sepenuhnya.

Presiden Indonesia yang lebih dikenali sebagai Jokowi itu berkata, bantuan aset dari negara lain itu ialah pesawat pengangkut air yang mampu membawa 12 hingga 15 tan air.

“Ada tiga pesawat dari Singapura dan Rusia. Apa yang kita perlukan saat ini ialah pesawat pengangkut air 12 atau 15 tan. Tidak seperti yang ada sekarang hanya 2-3 tan sahaja,” kata beliau.

Sementara itu, menurut laman web Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Palangkaraya, ibu kota Kalimantan Tengah, masih di tahap sangat berbahaya dengan bacaan antara 700-1,000 sejak pukul 10 pagi sehingga 2 petang tadi.

IPU di Palangkaraya pernah melebihi bacaan 2,000 dan ia telah melumpuhkan semua aktiviti harian masyarakat manakala puluhan ribu penduduk di kawasan itu didakwa mengalami pelbagai jenis penyakit berkaitan pernafasan yang dipercayai akibat jerebu.

Di Jambi, Sumatera Selatan pula keadaan jerebu masih tebal dengan bacaan IPU di tahap berbahaya antara 350-400.

Keadaan jerebu tebal di Jambi menyebabkan Jokowi terpaksa membatalkan lawatannya ke wilayah itu bagi melawat tempat berlakunya kebakaran ladang dan hutan hari ini.

Menurut agensi berita Antara, keadaan jerebu itu menyebabkan pesawat yang menbawa Jokowi tidak dapat mendarat di Jambi dan semua acara yang diatur telah ditunda.

Media tempatan turut melaporkan kebakaran hutan dan ladang di Indonesia pada tahun ini adalah yang terburuk dan jumlah kerugian adalah lebih Rp20 triliun (kira-kira RM60 juta).

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho berkata angka itu adalah berdasarkan perbelanjaan kerja memadam kebakaran ladang dan hutan yang menelan belanja Rp20 triliun.

Katanya, tahun lepas kebakaran itu hanya berlaku selama tiga bulan di Riau dan bagi tahun ini pula tempat kejadian telah bertambah. Kebakaran hutan dan ladang tahun ini berlaku di Sumatera Selatan, Jambi, Riau, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah, dan Kalimantan Selatan.