TURKI, 1 September:

Dua wartawan British dan seorang jurubahasa dari Iraq dituduh oleh sebuah mahkamah Turki dengan tuduhan ‘terlibat dalam kegiatan pengganas’ pada Selasa.

Ketiga-tiga mereka yang bekerja untuk saluran media Vice News yang berpangkalan di Amerika Syarikat ditahan oleh polis tempatan pada Khamis.

Tiada bukti kukuh yang dapat dikemukakan setakat ini, dan kesemua tertuduh menafikan tuduhan di hadapan peguam mereka lapor portal media ABC.

Jake Hanrahan, Philip Pendlebury dan rakan sekerja Iraq mereka, yang tidak dinamakan, telah membuat liputan rusuhan di tenggara Turki di mana kerajaan sedang melancarkan serangan ketenteraan terhadap pemberontak Kurdish.

Ketiga-tiga suspek ditahan di bandar Diyarbakir selepas polis bertindak atas maklumat awam dan merampas video rakaman yang sedang dibuat oleh mereka.

Mereka ditahan untuk penggambaran tanpa kebenaran kerajaan dan kemudiannya dituduh di mahkamah untuk menyokong IS.

Tuduhan terhadap mereka termasuk ‘sengaja membantu organisasi bersenjata’.

Amnesty International menggesa pembebasan wartawan terbabit dengan menyifatkan tuduhan terhadap mereka ‘keterlaluan dan pelik’.

Terdapat kebimbangan yang semakin meningkat tentang kemerosotan kebebasan akhbar di Turki ketika bawah pentadbiran Presiden Recep Tayyip Erdogan dan khususnya peningkatan bilangan wartawan yang menghadapi tindakan undang-undang.