SEOUL, 20 Ogos:

Korea Selatan telah mengarahkan pemindahan penduduk dari kawasan sempadan barat selepas berbalas tembakan dengan Korea Utara.

Korea Utara melepaskan tembakan ke arah unit tentera Korea Selatan pada Khamis, menyebabkan Korea Selatan bertindak balas dengan beberapa tembakan meriam, kata Kementerian Pertahanan Korea Selatan.

Berikutan kejadian serangan tersebut, Majlis Keselamatan Negara Korea Selatan dengan segera mengadakan sesi tergempar.

Sempadan laut barat telah lama menjadi zon sengketa antara kedua-dua negara Korea tersebut.

Korea Utara melepaskan berpuluh-puluh peluru bersaiz 155mm ke arah Yeoncheon, barat laut bandar Seoul, pada 15:52 waktu tempatan (06:52 GMT), kata kementerian pertahanan dalam satu kenyataan yang dilaporkan BBC.

Tiada sebarang laporan mengenai kecederaan atau kerosakan dari kedua belah pihak.

Kedua-dua negara Korea masih secara teknikalnya berada dalam situasi perang kerana perang 1950-1953 tamat kerana perjanjian gencatan senjata, bukan perjanjian damai.

Kedua-dua pihak telah berbalas-balas serangan merentasi sempadan beberapa kali dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Seorang pegawai tempatan memberitahu agensi berita AP bahawa kira-kira 80 penduduk di Yeoncheon telah dipindahkan, dengan penduduk lain di kawasan itu juga digesa mendapatkan perlindungan.