ATLANTA, 13 Ogos:

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Jimmy Carter hari ini mendedahkan pembedahan hati yang dijalaninya baru-baru ini mengesahkan penyakit kansernya kini sudah merebak ke bahagian lain di tubuhnya, lapor BBC.

“Saya akan menyusun semula jadual hari sekiranya perlu bagi membolehkan saya menjalani rawatan di Pusat Perubatan Emory,” kata Carter, 90, dalam satu kenyataan.

“Satu kenyataan awam akan dibuat apabila lebih banyak fakta diketahui, kemungkinan minggu depan,” katanya.

Carter, seorang Demokrat, berkhidmat sebagai Presiden ke-39 Amerika mulai tahun 1977 sehingga 1981 selepas menewaskan penyandang jawatan dari Republikan, Gerald Ford.

Pada pilihan raya Presiden 1980, beliau tewas kepada calon Republikan, Ronald Reagan.

Keluarga Carter sememangnya mempunyai sejarah penyakit kanser pankreas termasuk ibu bapanya, dua kakak dan adik lelakinya, Billy Carter.