TEL AVIV, 31 Januari:

Isteri Perdana Menteri Israel, Sara Netanyahu didakwa mengambil keuntungan £4,000 atau RM21,897 daripada hasil kitar semula botol-botol yang dibeli pejabat Perdana Menteri, ketika penggal kedua suaminya memegang jawatan itu, pada 2009 hingga 2013.

Menurut bekas pengurus kediaman Perdana Menteri, Meni Naftali, pekerja diarahkan Sara untuk mengitar semula bekas-bekas kosong yang dibeli dengan wang kerajaan, untuk mendapatkan wang tunai di pasar raya.

“Dia akan mengumpul botol-botol dengan banyak. Ini adalah wang saku Sara Netanyahu dan tiada sesiapa tahu ia akan masuk ke poketnya,” kata Naftali kepada surat khabar Yedioth Ahronoth yang diterbitkan semalam.

Naftali yang berkhidmat untuk pasangan itu selama 20 bulan, telah memfailkan saman terhadap pasangan itu, dengan mendakwa mereka melayannya secara kasar dan menjatuhkan maruahnya, sehingga menyebabkan mentalnya terseksa.

Sementara itu, AFP melaporkan, Benjamin melalui Facebooknya menangkis laporan media itu dengan menyifatkan ia sebagai tuduhan tidak berasas dan usaha untuk menggulingkan parti Likud serta menyokong sayap kiri.

“Semua ini bertujuan mengalihkan perhatian daripada apa yang benar-benar penting – siapa yang akan memimpin negara ini,” demikian tulisnya di Facebook.

Skandal membabitkan pemborosan pasangan Yahudi itu didedahkan surat khabar Israel, Haaretz, pada Khamis, ketika Netanyahu dalam usaha meneruskan kepimpinannya buat kali keempat, pada pilihan raya 17 Mac nanti.

Pada Februari 2013, pasangan itu dilaporkan memesan kira-kira 14 kilogram aiskrim berperisa vanila dan kacang pistasio, ke kediaman mereka setiap bulan.

Dua bulan kemudian, pasangan itu membazirkan £83,000 atau RM454,376 wang rakyat, dengan memasang sebuah katil kelamin dalam sebuah pesawat yang menerbangkan mereka untuk menghadiri upacara pengebumian bekas Perdana Menteri United Kingdom, Margaret Thatcher.

Tahun sebelumnya, pasangan itu membelanjakan lebih £1,000 atau RM5,474 untuk membeli lilin Wangi.