TACLOBAN, 17 Januari:

Sebuah pesawat yang dinaiki pembantu kanan Presiden Filipina, Benigno Aquino tergelincir dari landasan, ketika cuba berlepas dalam keadaan cuaca buruk, pada Sabtu.

Menurut pihak berkuasa, kejadian itu berlaku, selepas pesawat yang membawa Pope Francis berlepas dari lapangan terbang sama.

Bahagian depan pesawat itu terbenam dalam lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Tacloban, tengah Filipina, namun tiada kecederaan dilaporkan.

“Saya nampak ia bergerak di landasan, sebelum ia melewati landasan,” kata pegawai kanan kerajaan, Francis Tolentino kepada stesen radio DZMM.

Setiausaha Eksekutif Aquino, Paquito Ochoa bersama jurucakapnya, Herminio Coloma, antara penumpang pesawat itu.

Sekumpulan pegawai kanan diarahkan menemani Pope Francis ke Tacloban, untuk melawat mangsa-mangsa Taufan Haiyan yang meragut 7,350 nyawa, pada 2013.

Pope Francis terpaksa memendekkan kunjungannya ke Tacloban, susulan hujan lebat dan angin kencang yang dibawa Ribut Tropika Mekkhala yang melanda kawasan kurang 150 kilometer dari Tacloban.

Pesawat yang membawa Pope Francis berlepas dari Tacloban, sejurus selepas jam 1 tengah hari tadi dan selamat tiba di Manila.

Manakala pesawat yang membawa pembantu Presiden, cuba berlepas kurang 30 minit kemudian.