KUALA LUMPUR, 19 November:

Kerajaan tidak berhasrat menyekat laman sosial seperti Facebook dan aplikasi seperti WhatsApp, kerana sebahagian besar rakyat Malaysia menggunakan ia untuk berkomunikasi dan melakukan aktiviti keusahawanan.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan, pengguna tertakluk kepada undang-undang, sekiranya mereka melakukan kesalahan seperti penyebaran fitnah di laman media sosial.

“Pihak kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa komited dan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang dalam menangani penyalahgunaan media sosial.

“SKMM turut memantau dan sekiranya terdapat sebarang kandungan bercanggah dengan Akta 588, tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen BN-Jelebu, Datuk Zainudin Ismail jika kerajaan berhasrat menyekat penggunaan Facebook, seperti di China dan menggantikannya dengan laman sosial tempatan.

Mengulas lanjut perkara itu, Salleh berkata, antara Januari hingga September lalu, sebanyak 1,368 aduan diterima berhubung penyalahgunaan media sosial, termasuk kes blogger kontroversi, Alvin Tan.

“Untuk makluman, kes Alvin Tan didakwa di bawah subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan Akta Hasutan 1948, di mana kes tersebut sedang disiasat polis.

“Pihak SKMM akan memberi kerjasama dan bantuan kepada pihak polis, sekiranya diperlukan,” katanya.