KUALA LUMPUR, 11 November:

Maxis Bhd menyarankan industri telekomunikasi agar mengguna pakai definisi standard bagi kekuatan isyarat generasi keempat (4G).

Dalam satu kenyataan hari ini, Maxis berkata ia akan mengundang ketua jurutera daripada Celcom Axiata dan Digi.Com Bhd untuk menyertai Ketua Pegawai Teknologinya Morten Bangsgaard dalam forum terbuka mengenai 4G pada 23 Nov ini bagi membincangkan pemakaian standard teknikal yang sama untuk 4G.

Maxis berkata ia juga akan mendedahkan definisi 4G dan data prestasinya.

“Apabila sesebuah syarikat telco mendakwa ia ‘No. 1 untuk 4G’, amat penting dakwaan itu disokong dengan keputusan yang boleh dilihat, diukur dan sebenar,” katanya.

Maxis berkata ada tiga telco terkemuka Malaysia mendakwa mereka mempunyai jaringan 4G terluas, terpantas dan terbaik.

“Liputan memang penting tetapi begitu juga kualiti. Apabila Maxis menyatakan liputan kami (terluas), kami mengguna pakai keperluan yang ketat untuk kekuatan isyarat,” katanya.