KUALA LUMPUR, 6 November:

Pelbagai usaha dilakukan Pusat Pungatan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dalam meningkat pembayaran zakat di kalangan umat Islam di ibu negara terutama dengan memperkenalkan pembayaran melalui internet.

Pengerusinya Datuk Che Mat Che Ali berkata membayar zakat secara dalam talian berserta penyediaan bantuan kira-kira secara dalam talian di laman web rasminya, dan juga bantuan telefonis untuk sebarang pertanyaan telah menarik minat umat Islam untuk menunaikan bayaran zakat pendapatan melalui internet.

Selain itu, terdapat beberapa kaedah lain untuk membayar zakat termasuk melalui potongan gaji, katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata seiring dengan perkembangan semasa dan kemajuan teknologi, PPZ telah menyediakan kemudahan untuk umat Islam membayar zakat.

PPZ juga sedang giat mengadakan program-program bersama masyarakat Islam di Lembah Kelang bagi memberi bimbingan serta meningkatkan kesedaran umat Islam tentang keperluan mengeluarkan zakat, katanya.

Beliau juga berkata mereka yang membayar zakat pendapatan boleh mendapat pelepasan kadar tersebut dari membayar cukai pendapatan.

Mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, terdapat peruntukan bahawa umat Islam boleh menikmati pelepasan dari membayar cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi jumlah zakat yang telah dibuat kepada PPZ dengan syarat bayaran zakat tersebut diisytiharkan kepada LHDN berserta resit bayaran sah.

“Umat Islam hanya perlu membayar baki jumlah cukai pendapatan setelah ditolak jumlah zakat yang dibayar pada tahun yang sama.

“Kemudahan itu boleh dinikmati dengan syarat memaklumkan kepada pihak LHDN jumlah zakat yang telah dibayar kepada PPZ,” katanya.

Beliau berkata, pembayaran zakat tersebut perlu dibuktikan dengan resit yang dikeluarkan oleh pihak yang diberi kuasa untuk memungut zakat sahaja.