KUALA LUMPUR, 7 Oktober:

‘Internet of Things’ (IOT) telah menambah baik produktiviti utama hingga dapat meningkatkan kedudukan Malaysia dalam saingan ekonomi global.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Abu Bakar Mohamad Diah berkata IOT berpotensi besar untuk mengembangkan pemasaran dan perniagaan digital negara dengan menggalakkan automasi dalam setiap keupayaan perusahaan bagi memastikan ia kekal berdaya saing.

“Dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Strategik IOT Kebangsaan antara MOSTI dan MIMOS, Kerajaan Malaysia telah menyediakan rangka kerja bagi memacu anjakan minda dalam kalangan ahli teknologi daripada pelbagai industri untuk menggalakkan mobiliti dan kesediadaan teknologi maklumat (IT) dalam kehidupan seharian kita.

“Terdapat banyak peluang dalam landskap IOT, yang akan memacu matlamat untuk menjana kira-kira RM9.5 bilion dalam pendapatan negara kasar pada 2020 dan RM42.5 bilion pada 2025,” katanya pada BIGIT Technology Show di sini, semalam.

Acara itu merangkumi pameran BIGIT dan dua persidangan serentak iaitu 3rd Big Data World Show dan IoT World Show.

Acara eksklusif dua hari itu turut menampilkan pendapat pakar, tinjauan dan pembentangan kajian kes oleh organisasi bertaraf dunia, badan kerajaan dan pakar industri.