KUALA LUMPUR, 14 Ogos:

Maxis Bhd bekerjasama dengan Microsoft untuk melancarkan penyelesaian produktiviti yang menggabungkan Office 365 (O365) ke dalam set penyelesaian MaxisONE Business bagi membantu merangsang pertumbuhan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Penyelesaian itu bertujuan untuk membantu PKS meningkatkan produktiviti menerusi pakej berasaskan teknologi cekap kos melalui rangkaian data terbaik negara, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

MaxisONE Business yang dilancarkan pada 2014, merupakan pelan Internet bagi perniagaan yang menawarkan masa berbual dan mesej tanpa had, Internet, perkhidmatan gred perniagaan dan penyelesaian mobiliti.

MaxisONE Business dengan O365 bagi PKS merupakan yang pertama daripada lebih banyak perkongsian yang bakal dijalinkan dengan Microsoft, yang menyokong wawasan antara kedua-dua pihak untuk memacu pendigitalan perniagaan Malaysia.

“Dengan penggabungan O365 ke dalam penyelesaian itu bermakna pelanggan juga mendapat aplikasi Office yang dipasang dalam komputer peribadi, tablet dan telefon pintar, satu terabait storan awan dan hos perkhidmatan tokokan nilai lain,” kata syarikat itu.

Maxis adalah penyedia perkhidmatan komunikasi utama Malaysia.