MIRI, 22 Julai:

Digi Telecommunications Sdn Bhd akan mengembangkan liputan 4G, jalur lebar kelajuan tingginya, ke Samarahan dan Sibu pada akhir tahun ini, kata Ketua Wilayah Sarawaknya, Benny Wee.

Wee berkata ketika ini liputan itu hanya terdapat di Bandar Raya Kuching, Bintulu dan Bandar Raya Miri.

“Kami yakin dengan pengembangan liputan 4G di negeri ini, bilangan pelanggan kami akan terus berkembang,” katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan kedai Digi oleh Datuk Bandar Bandar Raya Miri, Lawrence Lai, di sini, hari ini.

Beliau berkata kedai itu merupakan yang keempat di negeri ini selepas Bandar Raya Kuching, Sibu dan Bintulu.

“Kami sedang menimbang kemungkinan membuka kedai kedua di Bandar Raya Kuching dan Bandar Raya Miri jika terdapat permintaan yang semakin meningkat,” katanya.