KUALA LUMPUR, 15 Oktober:

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) hari ini berkata semua kenderaan keluaran syarikat itu memenuhi dan mematuhi keperluan dan piawaian keselamatan.

“Perodua ingin meyakinkan pelanggan bahawa semua kenderaan kami mematuhi keperluan dan mengikut penarafan keselamatan yang dianugerahkan oleh Program Penilaian Kereta Baru bagi Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP),” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.

Dalam kenyataan yang dikeluar hari ini beliau berkata, Perodua tidak berkompromi dalam keselamatan pelanggan dan keluarga mereka.

“Orang ramai dialu-alukan datang ke bilik pameran kami dan bercakap dengan penasihat jualan bertauliah untuk mengetahui dan memahami ciri-ciri keselamatan produk kami,” jelasnya.

Menurut laporan, ASEAN NCAP ada menerima laporan para pelanggan berhubung ketiadaan spesifikasi keselamatan yang sudah ditetapkan dari kenderaan yang diuji sebelum ini, yang merupakan model buatan Malaysia.

Spesifikasi keselamatan itu berkaitan dengan kelengkapan penambat atas yang amat penting untuk perlindungan kanak-kanak di dalam kenderaan.