KUALA LUMPUR, 25 September:

Proton Holdings Bhd akan mengadakan karnival bagi rakyat Malaysia untuk menikmati dan merasai sendiri kenderaannya, karnival itu merupakan lanjutan daripada Ulang Tahun ke-30 Proton tahun ini.

Karnival Alami Proton 2015 akan dianjurkan selama dua hari bermula 3 Oktober di pusat Shah Alam, ia akan menyediakan pelanggan dengan pakej pemilikan yang menarik, rebat khas ke atas kereta yang terpilih, kelulusan segera untuk pembiayaan sewa beli dan nilai tukaran yang lebih tinggi bagi kereta terpakai.

“Promosi sempena ulang tahun ke-30 ini juga disediakan untuk mereka yang layak di mana pelanggan masih boleh menikmati kadar faedah 1.99 peratus setahun ke atas Proton Iriz dan 100 peratus skim pembiayaan untuk kakitangan kerajaan dan banyak lagi.

“Yang paling menarik, semua pemilik baharu Proton, akan dilindungi di bawah promosi jaminan lanjutan tujuh tahun,” kata pembuat kereta nasional itu dalam satu kenyataan.

Pengunjung ke Karnival Alami Proton juga akan berpeluang untuk pandu uji pelbagai kereta Proton seperti Saga, Persona, Prevé, Exora dan Iriz.

Vendor-vendor Proton yang menyediakan perkhidmatan bukan sahaja kepada Proton tetapi pengeluar multinasional yang lain juga akan turut membuka gerai bagi memaparkan kepakaran teknikal dan keupayaan mereka.

Maklumat lanjut mengenai karnival ini boleh diperolehi di www.proton.com atau halaman facebook Proton, www.facebook.com/ProtonCars.