SHAH ALAM, 16 Februari:

Proton Holdings Bhd akan memanggil balik hampir 100,000 unit model Exora, Preve dan Suprima untuk membaiki hos penyejuk minyak CFE, mulai hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, model-model terbabit menghadapi masalah hos penyejuk minyak yang akan pecah, selepas  kereta mencapai perbatuan purata sebanyak 40,000 kilometer (km), disebabkan degradasi bahan hos tersebut.

“Kami akan menghubungi para pemilik dan keutamaan akan diberikan kepada kereta dengan perbatuan 40,000km dan ke atas. Kami berharap masalah ini akan selesai dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya  pada majlis pratonton Proton Perdana yang baru, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau turut mengumumkan, tempahan telah dibuka untuk model Perdana baru yang dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun ini dan berharga RM100,000 hingga RM150,000.

Kos pembangunan untuk model itu juga agak rendah, iaitu kira-kira RM200 juta, berikutan penggunaan platform sedia ada.

Jelasnya, model baru itu diharap dapat membantu pengeluar kereta nasional itu mencapai sasaran jualan 2016 antara 100,000 hingga 150,000 unit.

“Dengan Perdana baru yang akan datang ini (kepada pasaran), bersama model-model lain dalam perancangan (yang akan dilancarkan tahun ini), kami percaya, kami boleh mencapai sasaran jualan kami pada tahun ini,” katanya.