KUALA LUMPUR, 29 Disember:

Dianggarkan 20 juta rakyat Malaysia akan menikmati faedah daripada rebat Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi kad prabayar, tahun depan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2016, pelanggan prabayar yang terdiri daripada warganegara Malaysia layak mendapat rebat GST.

“Ini jelas memberi faedah kepada pelanggan, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Bajet 2016 pada Oktober lepas,” katanya.

Salleh berkata, beliau gembira apabila dimaklumkan syarikat-syarikat telekomunikasi sudah bersedia bagi pelaksanaan rebat GST untuk pelanggan prabayar.

Beliau menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau perkara itu, bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

Menteri itu  berkata, suruhanjaya itu perlu terus bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat telekomunikasi dan pada masa sama, memastikan kepentingan pelanggan kekal menjadi keutamaan.