KEMAMAN, 2 Februari : 

Agensi berkaitan keselamatan siber perlu diletakkan di bawah satu kementerian bagi memudahkan pelarasan tugas secara menyeluruh dalam menangani ancaman jenayah siber, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata langkah proaktif dan koordinasi yang tepat dan menyeluruh perlu diambil bagi memastikan ancaman siber dapat dibanteras dengan lebih berkesan.

Menurutnya, isu menangani ancaman siber dan soal keselamatan siber kini dikendalikan di bawah dua kementerian berlainan iaitu CyberSecurity Malaysia (CSM) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Aspek keselamatan dan jenayah siber sekarang ini tak boleh dilihat hanya satu cabang dalam sesuatu kementerian sahaja malah ia harus dilihat secara menyeluruh,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga arwah atlet pecut paralimpik negara, Mohammad Azlan Mat Lazin, di sini hari ini.

Beliau berkata cabaran berkaitan soal keselamatan dan jenayah siber bukan hanya berlaku di Malaysia malah kebanyakkan negara di dunia turut mengalami cabaran berkenaan.