KUALA LUMPUR, 23 Februari:

Membawa watak sebagai penjaga gol menerusi filem ‘Ola Bola’ adalah saat paling mencabar dalam hidup M. Saran Kumar, kerana beliau tidak pernah berlakon sebelum ini.

Penuntut berusia 21 tahun itu yang membawa watak ‘Muthu’ bagaimanapun berkata, beliau berpengalaman menjadi pemain bola sepak dengan mewakil pasukan bawah 18 tahun Selangor.

“Tetapi, saya bermain untuk posisi pertahanan dan bukan sebagai penjaga gol,” katanya sambil memberitahu pengarah, Chiu Keng Guan meminta beliau menjalani latihan khusus secara peribadi selama tiga bulan, untuk mempelajari teknik sebagai penjaga gol, bagi membawa watak berkenaan dalam filem itu.

Saran yang kini menuntut dalam tahun dua bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), menganggap watak penjaga gol itu tidak membebankan, malah beliau berusaha sedaya-upaya menghidupkan watak ‘Muthu’ itu.

“Saya berusaha menyelami watak itu, malah menangguhkan pembelajaran selama satu semester, semata-mata untuk memberi fokus dan komitmen kepada lakonan dalam filem ‘Ola Bola’,” katanya kepada Bernama.

Penonton filem itu mengaitkan watak ‘Muthu’ dengan penjaga gol nombor satu negara, mendiang Datuk R. Arumugam yang dikenali sebagai ‘Spiderman Malaysia’, semasa kegemilangan sukan bola sepak negara pada 1970-an dan 1980-an.

Filem fiksyen bertemakan bola sepak itu, mengambil inspirasi daripada kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia berjaya menyertai Sukan Olimpik Moscow 1980.

Saran yang merupakan anak kelahiran Kepong, Kuala Lumpur, amat teruja apabila ditawarkan berlakon dalam filem itu yang secara tidak langsung menonjolkan kegemilangan pasukan bola sepak negara serta semangat setiakawan rakyat Malaysia.

Beliau juga amat terharu, apabila melihat sambutan luar biasa orang ramai terhadap filem terbitan Astro Shaw itu.

“Saya tidak dapat menggambarkan perasaan saya, apabila melihat sambutan penonton. Saya sungguh terharu dan bangga, kerana berpeluang menyumbang sedikit kepada kejayaan filem ini,” katanya.

Saran berkata, susulan pengalamannya berlakon dalam flem itu, beliau kini berminat terhadap bidang lakonan dan berharap dapat mengembangkan bakatnya sebagai pelakon.

“Namun, saya tetap mahu menjadi jurutera eletrik dan elektronik,” katanya.

Filem ‘Ola Bola’ mendapat sambutan hangat sehingga mencatatkan kutipan RM12 juta, sejak mula ditayangkan pada 28 Januari lepas di 120 pawagam di seluruh negara.

Filem itu yang dibintangi Bront Palarae, turut menampilkan ramai muka baru, termasuk pelakon utamanya, JC Chee dan Luqman Hafidz serta Marianne Tan, Katrina Ho dan Frankie Lee.