KUALA LUMPUR, 20 Februari:

Syarikat hijab terkemuka, Naelofar Hijab, berhasrat mengukuhkan lagi empayar perniagaan di arena antarabangsa dengan menubuhkan syarikat serantau pertamanya di New York, Amerika Syarikat.

Pemiliknya, Noor Neelofa Mohd Noor berkata berdasarkan pengalaman beliau semasa belajar di sana dan setelah melakukan beberapa kaji selidik, New York merupakan lokasi yang strategik untuk membina ‘physical store’ (premis) dan ‘warehouse’ (gudang).

“Kami merancang untuk menembusi pasaran antarabangsa dan mengeksport ke lebih banyak negara.

“Kami berharap dengan adanya satu pusat di negara yang besar akan memberi lagi peluang untuk kami melebarkan sayap di lebih banyak negara berbanding hanya berpangkalan di Malaysia,” kata usahawan muda itu kepada Bernama.

Menurut Neelofa, perkembangan komuniti Islam di New York turut memberikan inspirasi kepadanya dalam mengukuhkan rangkaian produknya di kota sibuk itu.

Mengenai masa depan, Neelofa berharap pembukaan syarikat serantaunya di New York akan meningkatkan lagi jualan produknya dan meraih hasil sumbangan yang lebih besar daripada perniagaan di luar negara.

Syarikat Naelofar Hijab mengumumkan penjualan RM50 juta untuk tahun 2015, di mana 10 peratus daripadanya adalah hasil dari segmen antarabangsa.

“Jumlah jualan itu hanya bergantung kepada jualan online sahaja tanpa physical store di mana-mana negara. Saya harap selepas syarikat serantau di New York, jualan akan meningkat. Saya menjangka sumbangan yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata pihak Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di New York banyak memberi tunjuk ajar dalam proses dokumentasi serta selok belok bagaimana menubuhkan syarikat serantau tersebut.

Sejak mula diperkenalkan pada 2014, Naelofar Hijab berjaya mencetus fenomena baharu di pasaran fesyen tempatan menerusi produk selendang segeranya yang mudah dipakai walaupun tanpa menggunakan pin.

Perniagaan yang bermula secara dalam talian dan di bazar itu terus berkembang dan kini produk Naelofar Hijab sudah dieksport ke lebih 30 buah negara termasuk Singapura, Brunei, London, Australia, Belanda dan Amerika Syarikat.

Neelofa, yang juga merupakan seorang pengacara dan pelakon, berkata syarikatnya berhasrat untuk meneroka pasaran di Timur Tengah di samping membuka syarikat serantau di sana.

“Kita ada rangkaian di sana. Rakan kongsi tersebut mempunyai syarikat di Riyadh, Kaherah, dan di beberapa kawasan lain di Mesir. Dia bercadang untuk bawa masuk Naelofar Hijab ke negara itu.

“Kami masih dalam proses menyediakan kertas kerja. Kami akan mengemukakannya kepada beliau dan menunggu perkembangannya,” tambah beliau.