KUALA LUMPUR, 17 Februari:

Raja Gelek Malaysia, Datuk M. Daud Kilau mengukir senyuman terharu daripada kerusi rodanya, ketika meninggalkan Hospital Selayang, selepas sebulan dirawat kerana masalah prostat.

“Saya rindukan pakaian berkelip-kelip saya,” kata penyanyi veteran berusia 77 tahun yang membayangkan keinginannya untuk terus membuat persembahan pentas, semasa ditemui sekumpulan pemberita yang mengunjungi beliau di hospital.

Beliau menzahirkan rasa rindunya kepada peminat-peminatnya, setelah agak lama tidak beraksi di pentas persembahan, berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya kini.

M. Daud Kilau dibenarkan pulang tengah hari tadi, setelah menjalani rawatan sejak 15 Januari lalu.

Sebelum itu, beliau dirawat di Hospital Teluk Intan, akibat komplikasi membuang air kecil.

“Saya perlu menjalani pembedahan susulan masalah prostat yang kedua pada 2 Mac ini, kerana masih mengalami kesukaran untuk membuang air kecil dan perlu bergantung dengan alat membuang air kecil.

“Walaupun kini saya hampir sembuh kira-kira 90 peratus, tetapi saya masih perlu mendapat rawatan susulan di hospital ini (Hospital Selayang),” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez turut hadir melawat M. Daud Kilau bersama dua ahlinya, bagi menyampaikan sumbangan berbentuk wang.

Freddie berharap sumbangan itu dapat membantu meringankan beban penyakit yang ditanggung dan berharap beliau segera sembuh serta dapat beraksi semula di pentas persembahan.

M. Daud Kilau terkenal pada 1970-an dengan lagu “Cek Mek Molek” dan “Gila Judi”.