KUALA LUMPUR, 27 Januari:

Ada sebab mengapa komposer dan penulis lirik prolifik ini menghasilkan lagu Hanya NamaMu dendangan Caliph Buskers yang ternyata berjaya memikat hati pendengar dan peminat muzik tempatan.

Kata Edry Abdul Halim atau lebih mesra disapa Edry ini, niat utamanya terhadap Hanya NamaMu adalah untuk memberikan sesuatu yang berbeza dengan apa yang pernah dihasilkannya sebelum ini.

Jika selama ini nuansa pop, balada mahupun dance music sudah dianggap seperti makanan rujinya, namun berbeza dengan Hanya NamaMu walaupun muzik terasnya masih lagi berbunyi pop.

“Saya mahu menyampaikan mesej dalam lagu itu sendiri yang lebih ke arah ketuhanan dan spiritual yang mana adalah sesuatu yang agak jarang saya hasilkan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ia diterima dengan baik tetapi apa yang lebih penting bagi saya adalah untuk melihat Caliph Buskers mengecapi kejayaan menerusi lagu pertama dendangan mereka ini.

“Ternyata, ia berjaya dan tiada apa yang lebih menggembirakan saya untuk melihat mereka sudah mula ada kelompok peminat sendiri dan lebih utama, ramai yang sudah mula membuka mata terhadap bakat mereka di sebalik kekurangan yang dimiliki,” ujar Edry kepada The Rakyat Post sewaktu dihubungi, baru-baru ini.

Apa yang diperkatakan oleh Edry itu ada benarnya kerana dia dilihat sebagai individu yang bertanggungjawab memperkenalkan nama Caliph Buskers kepada pengetahuan khalayak apabila mengundang kumpulan itu menyampaikan lagu Romancinta pada AJL tahun lalu.

Mengulas tentang kejayaannya yang merangkul tempat ketiga dan berkongsi kemenangan bersama Caliph Buskers dengan wang kemenangan sebanyak RM20,000 dan trofi pada Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30), malam Ahad lalu, Edry ternyata gembira dan bersyukur dengan kemenangan itu.

SSR_2840
Sebagai komposer dan individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Caliph Buskers kepada khalayak muzik tempatan, Edry ternyata gembira dengan pencapaian kumpulan itu. – Foto TRP/Syahirah Roslan

Akan tetapi, jelas komposer lagu Sedetik Lebih nyanyian Anuar Zain itu, tujuan utamanya menghasilkan Hanya NamaMu bukanlah untuk tujuan komersial dan hanya untuk dipertandingkan semata-mata.

“Disebabkan itu apabila lagu ini berjaya ke peringkat AJL30, saya melihatnya sebagai satu penghargaan dan penghormatan kerana sebelum ini memang agak jarang atau barangkali tiada lagu berkonsepkan sebegini layak ke peringkat akhir.

“Bahkan, secara peribadi saya sendiri tidak menyangka Hanya NamaMu menjadi pemenang dalam tiga lagu terbaik kerana tahun ini juga saingannya juga bukan calang-calang.

“Tetapi, di sini kita dapat lihat bagaimana penjurian itu semakin terbuka dan tidak lagi melihat penghasilan sesuatu lagu itu dari satu dimensi sahaja. Melihat kepada penganjuran AJL selama ini pun, pemilihan pemenang bergantung kepada situasi industri muzik ketika itu,” katanya yang sudah 13 kali bertanding di AJL termasuk tiga kali bersama abang-abangnya, Norman dan Yusry selaku komposer dan penulis lirik.

Untuk rekod, kemenangan Edry yang meraih tempat ketiga tempoh hari merupakan yang pertama sebagai komposer dan penulis lirik selepas mula menyertai AJL secara solo pada tahun 2006.

Sebelum ini, selama tiga kali dia menyertai AJL bersama Norman dan Yusry pada tahun 1994, 1999 dan 2003 masing-masing menerusi lagu Mengerti (KRU), Istimewa (Indigo) dan Hi Hi Bye Bye (Ezlynn).

KRONOLOGI PENYERTAAN EDRY ABDUL HALIM DI PENTAS ANUGERAH JUARA LAGU

1994: MENGERTI – KRU (bersama Norman dan Yusry)

1999: ISTIMEWA – INDIGO (bersama Norman dan Yusry)

2003: HI HI BYE BYE – EZLYNN (bersama Norman dan Yusry)-(MENANG KATEGORI POP ROCK)

2006: TAK TAHU – ADAM

2010: PAKAI BUANG – STACY

2011: KEBAHAGIAAN DALAM PERPISAHAN – SHAHIR

2011: KU ADA KAMU – ADIRA

2011: JAHAT – STACY

2012: SEDETIK LEBIH – JACLYN VICTOR (MENANG ANUGERAH JUARA MOBILE CELCOM)

2013: ANDAIKU BERCINTA LAGI – MOJO

2014: IKUT RENTAKKU – JACLYN VICTOR

2015: ROMANCINTA – MOJO & CALIPH BUSKERS (PERSEMBAHAN TERBAIK)

2016: HANYA NAMAMU – CALIPH BUSKERS (TEMPAT KETIGA)