KUALA LUMPUR, 27 Januari:

Keunggulannya sebagai penghibur di atas pentas memang tiada tandingannya apabila buat kali kedua berturut-turut gelaran Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) menjadi miliknya.

Kehebatannya mempersembahkan lagu ciptaan anak-beranak, Akid dan Poji Samad berjudul Tak Pernah Menyerah di pentas Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL) membuktikan Dayang Nurfaizah atau mesra disapa Dayang bukan sembarangan penghibur.

Bertemu dengan Dayang selepas berakhirnya AJL30, malam Ahad lalu, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu sudah mampu menghela nafas panjang bagai tanda tanggungjawabnya sudah dilunaskan sehabis baik.

Ketika ditanya apakah susunan muzik baharu gubahan Genervie Kam untuk Tak Pernah Menyerah pada malam AJL30 sengaja diubah sedemikian rupa agar dia mampu untuk terus mempertahankan gelaran Vokal Terbaik, dengan tenang Dayang memberikan justifikasinya.

“Soal mahu menang atau mensasarkan trofi Vokal Terbaik tidak pernah ada dalam agenda saya. Keutamaan saya adalah untuk memberikan persembahan terbaik seiring dengan darjat AJL yang diangkat sebagai pertandingan lagu terulung penuh prestij di negara ini.

“Lalu, apa yang saya persembahkan menerusi Tak Pernah Menyerah adalah demi untuk kepuasan saya sendiri selain mahu mencabar diri dengan mempersembahkan versi yang berbeza daripada lagu sebenar.

“Jika saya sampaikan dalam versi asal, ia tidak menampakkan sebarang kelainan untuk pertandingan seperti AJL lalu saya harus memberikan keadilan lagu itu sendiri agar ia kedengaran baharu dan segar selain mahu memberikan pendedahan meluas terhadap lagu itu sendiri,” demikian ulasan Dayang panjang lebar menjawab soalan The Rakyat Post berhubung persoalan itu.

ajl-m-5
Reaksi Dayang Nurfaizah sewaktu menerima hadiah kemenangannya selepas namanya diumumkan sebagai Vokal Terbaik. – Foto TRP/Syahirah Roslan

Dengan kemenangan itu, bekas pemenang Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-20 (2013) menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta ini mendapat durian runtuh berupa wang tunai sebanyak RM12,000 dan trofi.

Tahun lalu, menerusi lagu Di Pintu Syurga, Dayang memenangi Vokal Terbaik untuk kali pertama selepas sedekad tidak menyertai pertandingan berprestij anjuran TV3 itu.

Tampil kelihatan sungguh eksklusif dan sofistikated dengan menyarungkan busana haute couture rekaan pereka fesyen tersohor, Rizalman Ibrahim selain ditata rias oleh Khir Khalid dan Fendi Sani, Dayang sememangnya membawa dirinya umpama seorang penghibur bertaraf antarabangsa pada malam AJL30.

Dengan penggunaan vokal akrobatik selain penyampaian penuh dinamik, memang tidak syak lagi Dayang dari awal lagi sudah menjadi calon utama untuk meraih gelaran Vokal Terbaik meskipun saingannya bukan calang-calang juga.

Jika tidak mana mungkin Ketua Juri AJL30, Azmeer yang menyifatkan persembahan Dayang pada malam itu masih lagi pitch perfect seperti mana yang dilakukannya menerusi Di Pintu Syurga.

“Dayang memang hebat dan telah mempamerkan kecemerlangannya dalam mempersembahkan vokal yang penuh akrobatik dan dinamik lalu markah tinggi diberikan kepadanya.

“Dia masih belum gagal untuk tidak mengecewakan pihak juri yang tanpa ragu memilihnya sebagai pemenang walaupun Dayang sebenarnya berhadapan dengan saingan sengit.

ajl-m-4
Persembahan memukau seorang penghibur hebat. – Foto TRP/Syahirah Roslan

“Saya enggan memberitahu siapakah saingan terdekatnya tetapi nama-nama seperti Black, Hazama mahupun Kaka Azraff juga antara yang berpotensi merangkul gelaran Vokal Terbaik tetapi Dayang mengatasi mereka semuanya,” kata Azmeer ketika mengulas tentang kemenangan Dayang.

Sementara itu, ketika ditanya apakah pemilik nama penuh Dayang Nurfaizah Awang Dowty ini sudah berpuas hati dengan pencapaiannya di pentas AJL setakat ini, penyanyi itu seraya menggelengkan kepalanya.

Jelas penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu lagi, meskipun ada penyanyi seangkatannya sudah pun ‘bersara’ daripada menyertai AJL, namun untuk Dayang, dia masih memerlukan pertandingan seperti AJL.

“Di pentas AJL sahajalah, ia dapat menonjolkan bakat dan kemampuan seseorang artis itu dalam mempersembahkan sebuah persembahan eksklusif yang barangkali tidak akan dapat ditonton lagi selepas itu.

“Seperti mana yang saya katakan tadi, soal kemenangan bukan keutamaan tetapi untuk saya, kepuasan dalam melunaskan tanggungjawab bukan untuk diri saya semata-mata tetapi untuk komposer dan penulis lirik yang bertanding.

“Disebabkan itu, saya tidak akan pernah menyerah daripada untuk terus bertanding di AJL kerana di pentas itu, ia membuatkan saya lagi bersemangat untuk mempamerkan sisi berbeza saya sebagai seorang penghibur,” ujar penyanyi lagu Langit Cinta ini dalam nada cukup opitimis.

KRONOLOGI PENYERTAAN DAYANG NURFAIZAH DI PENTAS ANUGERAH JUARA LAGU

2001: Kategori Balada – Seandainya Masih Ada Cinta (MENANG)

2001: Kategori Pop Rock – Bahagia

2005: Kategori Etnik Kreatif – Erti Hidup (MENANG)

2015: Di Pintu Syurga (VOKAL TERBAIK & TEMPAT KETIGA)

2016: Tak Pernah Menyerah (VOKAL TERBAIK)