KUALA LUMPUR, 27 Januari:

Melihatkan kepada persembahan kumpulan Caliph Buskers sewaktu membuat persembahan di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-30 (AJL30) menerusi lagu Hanya NamaMu, memang tidak dinafikan lagi, vokalisnya Azmi berjaya menyentuh jiwa audiens dengan penghayatan yang begitu mendalam dan persembahan vokal yang mantap.

Apatah lagi dengan lagu yang berunsurkan ketuhanan dan spiritual ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim itu, memang tidak dapat dinafikan lagi lagu Hanya NamaMu juga antara yang telah memberikan saingan sengit.

Sudah tertulis rezeki berpihak kepada Edry dan Caliph Buskers apabila gandingan mantap itu telah memberikan mereka kedudukan di tempat ketiga AJL30 dan jika tidak silap perhitungan, itulah buat pertama kalinya, lagu berkonsepkan sedemikian memenangi tiga tempat terbaik sepanjang penganjuran AJL.

Dari sudut lain pula, Caliph Buskers dilihat seperti ‘naik pangkat’ apabila tahun lalu mereka memenangi Persembahan Terbaik menerusi Romancinta dan tahun ini pula, mendapat tempat ketiga menerusi lagu dendangan mereka sendiri.

Bersyukur dengan rezeki yang berpihak kepada mereka itu, namun, sebagai vokalis, Azmi tidak menafikan bahawa perasaannya bercampur-baur sewaktu menyampaikan lagu berkenaan tempoh hari.

“Saya memang takut dan gementar nak menyanyikan lagu Hanya NamaMu dan perasaan itu sangat berbeza dengan apa yang kami lalui sewaktu menyampaikan Romancinta.

“Jika tahun lalu, kami hanya sekadar penyanyi gantian dan mengikut arahan yang diberikan, tetapi kali ini cabarannya berganda kerana ini merupakan single pertama nyanyian kami sendiri.

“Sudah pasti banyak perkara yang perlu kami fikirkan dan Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Tanpa bantuan dan sokongan daripada pihak KRU Music, Edry, teman-teman dan mereka yang berada di sekeliling kami, mustahil untuk kami sampai ke tahap ini,” kata Azmi atau nama sebenarnya, Khairul Azmi Mohd. Saat penuh terbuka kepada The Rakyat Post.

ajl-m-1
Persembahan mantap vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi yang menusuk kalbu dengan penghayatan dahsyat menerusi lagu Hanya NamaMu. – Foto TRP/Syahirah Roslan

Dengan kemenangan itu, Edry dan Caliph Buskers berkongsi hadiah kemenangan berupa wang tunai RM20,000 dan trofi.

Selain Azmi, kumpulan itu turut dianggotai empat anggota lain iaitu Mohd. Zaki Ismail atau Zaki, Nirwan Zainalabidin (Wan), Fendy Adlun (Fendy) dan isterinya, Nadira.

Sebagai menghargai serta mengenang jasa dan budi Edry, Caliph Buskers juga telah menjemput komposer dan penulis lirik popular itu untuk mengiringi persembahan mereka pada malam AJL30.

Dalam pada itu juga, Azmi yang berasal dari Mersing, Johor itu tidak menafikan dia mahu menebus kesilapan yang pernah dilakukannya apabila vokalnya ‘tergelincir’ sewaktu menyampaikan lagu itu di peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 30, bulan lalu.

Sambil memanjatkan kesyukuran, dia berasa lega apabila semuanya berjalan dengan lancar seperti mana yang diharapkan dan katanya, ia adalah berkat kesungguhannya berlatih selain berdoa agar kesihatannya mengizinkan membuat persembahan.

Sementara itu, Azmi turut berkongsi berita untuk dikongsikan bersama peminat mereka apabila Caliph Buskers akan muncul dengan single baharu tahun ini.

Buat masa ini, jejaka yang dilahirkan pada 27 September 1987 itu berkata mereka ada beberapa buah lagu yang berada dalam senarai dan akan berbincang dengan KRU Music untuk memilih lagu terbaik untuk dirakamkan kelak.

Dalam perkembangan lain, Caliph Buskers juga kini sudah pun memiliki studio sendiri yang dibina daripada hasil usaha dan titik peluh mereka sendiri yang terletak di kediaman Azmi bagi memudahkan mereka membuat latihan.

“Kami juga menanam impian untuk membuat persembahan busking secara jelajah di seluruh negara dan menghiburkan peminat serta masyarakat di jalanan seperti mana yang telah kami lakukan selama ini,” kata Azmi sambil dipersetujui anggota Caliph Buskers yang lain.