KUALA LUMPUR, 25 Januari:

Sebagai tunangan kepada Ummu Shaikhah Stacy Anam atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Stacy, Akim Ahmad atau Akim pastinya dia telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi walaupun turut bersaing dalam Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30), malam semalam.

Biarpun kemenangan berpihak kepada Akim & The Majistret menerusi lagu Potret, namun, Akim tidak berselindung bahawa dia juga sebenarnya meletak harapan dan mahu melihat Stacy menjulang anugerah.

Bahkan, Akim secara terang-terangan memberitahu kepada pihak media bahawa lagu Not For Sale ciptaan sepenuhnya oleh Omar K dan Mike Chan itu juga layak untuk memenangi gelaran Juara Lagu.

“Akan tetapi, saya percaya Stacy sudah memberikan persembahan yang terbaik walaupun kesihatannya juga tidak mengizinkan apabila kakinya mengalami kecederaan kecil.

“Pendapat peribadi saya, lagu Not For Sale telah meletakkan satu tanda aras baharu buat Stacy sendiri kerana ia jauh berbeza dengan apa yang pernah dipersembahkan olehnya sebelum ini.

“Jika diamati dan didengar sebaiknya, Not For Sale bukan sebuah lagu sembarangan kerana ia memerlukan Stacy menyanyi dengan menggunakan teknik vokal rendah yang jarang sekali dilakukannya. Cuma rezeki tidak berpihak kepadanya,” ujar Akim penuh bersungguh ketika ditanya tentang soalan itu.

SSR_2315
Stacy tetap memberikan persembahan energetik biarpun kakinya mengalami kecederaan kecil. – Foto TRP/Syahirah Roslan

Memang tidak dinafikan, Stacy telah memberikan persembahan yang boleh dianggap sebagai energtik dan berbeza daripada apa yang telah dipersembahkannya sepanjang bertanding di pentas AJL.

Tidak keseorangan, persembahan bekas juara Akademi Fantasia musim keenam itu juga ditemani oleh rapper terkenal, Altimet yang juga merupakan rakan kolaborasinya untuk lagu yang pernah menjadi lagu tema drama rantaian Tuan Anas Mikael itu.

Malah, namanya juga disebut untuk memenangi kategori Persembahan Terbaik memandangkan 50 peratus adalah daripada undian peminat dan mengenali Stacy, dia memiliki kelompok peminat yang ramai lalu tidak mustahil gelaran itu menjadi miliknya.

Akan tetapi, Stacy sekali lagi terpaksa akur bahawa rezeki belum menjadi miliknya lagi untuk memenangi sebarang anugerah di AJL apabila Persembahan Terbaik berpihak kepada bakal suaminya yang merupakan vokalis kumpulan Akim & The Majistret itu.

Sebaik sahaja pengumuman itu dibuat, ramai yang melahirkan simpati buat Stacy kerana sekali lagi dia terpaksa berputih mata biarpun bersungguh memberikan persembahan yang memukau.

Untuk rekod, Stacy telah menyertai AJL sebanyak tujuh kali bermula dengan lagu Aku Stacy pada tahun 2009, Pakai Buang (2010), Jahat (2011), Pelangi Senja (2013), Bosan (2014), Gilalah (2015) dan Not For Sale (2016).