KUALA LUMPUR, 25 Januari:

Sedari awal, sejak lagu Assalamualaikum dipertandingkan dalam program Muzik-Muzik 30, ia dilihat sebagai calon utama yang berpotensi untuk merangkul kejuaraan dalam Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30) yang telah melabuhkan tirainya, malam semalam.

Walaupun sang penyanyinya, Faizal Tahir tidak menyampaikan lagu itu sendiri di peringkat separuh akhir yang menyaksikan Tomok menggantikan tempatnya, namun, Assalamualaikum layak juga ke AJL30.

Namun, sudah tertulis di Luh Mahfuz bahawa Assalamualaikum hanya mampu untuk meraih gelaran naib juara AJL30 dan memberikan kemenangan berupa wang tunai sebanyak RM35,000 dan trofi kepada Faizal dan empat lagi komposer serta penulis liriknya iaitu Audi Mok, Mike Chan, Omar K dan Ezra Kong.

Menjawab soalan pihak media pada sidang akhbar selepas AJL30 berakhir, Faizal ternyata tenang dan terbuka dengan kemenangannya itu biarpun dia juga cukup sedar akan ramalan bahawa Assalamualaikum akan mengungguli pertandingan berprestij itu tahun ini.

“Setiap ramalan yang disebut setiap kali saya menyertai AJL adalah daripada peminat saya sendiri dan saya juga percaya setiap peminat juga akan memperkatakan perkara yang sama untuk artis kesayangan mereka yang bertanding.

“Justeru, dari hati yang luhur dan penuh ikhlas ini, saya bersyukur dengan kemenangan Assalamualaikum dan bukan niat saya sebenarnya mencipta lagu ini hanya khusus untuk dipertandingkan di AJL ataupun acara anugerah lain.

“Sebaliknya, apa yang paling saya dan rakan komposer lain untuk lagu ini mahukan adalah mesej itu disampaikan dengan baik dan menyeluruh. Ternyata, niat kami itu menjadi kenyataan dan itu sebenarnya hadiah kemenangan buat kami,” jelas Faizal atau nama sebenarnya, Ahmad Faizal Mohamad Tahir itu tanpa selindung.

SSR_2029
Niat Faizal Tahir yang mahu mesej lagu Assalamualaikum diterima dengan baik ternyata tercapai apabila persembahannya pada Anugerah Juara Lagu Ke-30 malam tadi meninggalkan kesan mendalam. – Foto TRP/Syahirah Roslan

Dalam pertandingan anjuran TV3 itu, Faizal tidak hanya bertanding atas tiket Assalamualaikum sebaliknya sebuah lagi lagu ciptaannya bersama Mike Chan berjudul Knock Knock dendangan Elizabeth Tan turut menjadi finalis. Namun, kemenangan juga tidak berpihak kepada Knock Knock.

Kembali menyertai AJL selepas empat tahun menyepi, ternyata Faizal telah memberikan persembahan yang jauh berbeza dengan apa yang pernah dipersembahkannya sebelum ini.

Biarpun ramai yang mahukan sesuatu yang ekstravaganza daripadanya untuk Assalamualaikum, namun bagi Faizal, dia sebenarnya mahu menjadi lebih tenang dan relaks untuk persembahannya malam semalam.

“Saya percaya dan tahu ramai yang meletakkan harapan tinggi selain mahu melihat apa lagi gimik yang mahu saya lakukan. Tetapi, semua itu tidak akan berulang lagi kerana selain faktor usia juga, saya lebih mahukan mesej Assalamualaikum itu sampai ke hati audiens.

“Setiap persembahan yang saya lakukan memang ada cerita di sebaliknya dari Sampai Syurga sehinggalah ke Assalamualaikum dan semuanya itu bukan hanya sekadar hiburan semata-mata,” ujar Faizal yang pernah menang besar apabila memenangi kategori Balada, Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik menerusi lagu Sampai Syurga pada AJL23 (2009)

Ternyata persembahan Faizal yang minimal dan tidak berlebihan itu telah meninggalkan impak dan kesan kepada audiens di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor yang menyifatkannya sebagai salah satu persembahan terbaik pada malam itu.

Untuk rekod, kemenangan Faizal dalam AJL30 dengan meraih naib juara itu adalah kali pertama buatnya sepanjang penyertaannya dalam AJL.

Sebelum ini, Faizal pernah memenangi tempat ketiga sebanyak dua kali menerusi lagu Bencinta pada AJL24-2010 dan Karma (AJL26-2012) selain Persembahan Terbaik bagi lagu Hanyut pada AJL25 (2011).