KUALA LUMPUR, 25 Januari:

Pernah menyepi daripada pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) selama empat tahun sebelum kembali ke pentas AJL30 malam semalam membuatkan ramai yang bertanya apakah Faizal Tahir akan terus kembali aktif menyertai AJL selepas ini.

Apatah lagi, pertaruhan Faizal mempertandingkan lagu Assalamualaikum untuk edisi ke-30 membuahkan hasil apabila dipilih sebagai naib juara yang memperlihatkan dirinya di samping empat komposer lagu berkenaan, Audi Mok, Mike Chan, Omar K dan Ezra Kong membawa pulang wang tunai RM35,000 dan trofi.

Ternyata, Faizal atau nama sebenarnya, Ahmad Faizal Mohamad Tahir mempunyai alasan tersendiri apabila memperkatakan tentang penyertaannya di AJL selepas ini.

Bagi pelantun lagu Sampai Syurga dan Bencinta itu, buat masa ini, belum terlintas di fikirannya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pertandingan yang juga sinonim dengan dirinya itu.

“Insya Allah, jika tiada aral, pastinya saya akan terus mempertandingkan lagu saya dalam Muzik-Muzik dan kalau ada rezeki untuk ke AJL kelak, itu adalah rezeki buat saya.

“Tetapi, buat masa ini, saya lebih selesa untuk tidak memperkatakan soal itu (bertanding) kerana banyak keutamaan lain yang perlu diberi perhatian selepas ini dan saya bimbang dengan komitmen itu ia tidak dapat membuatkan saya menyertainya.

“Dalam satu aspek lain, saya tiada masalah untuk kembali bertanding tetapi semuanya bersyarat. Seandainya penyertaan saya itu akan memberikan manfaat dan kebaikan kepada masyarakat, mengapa tidak,” katanya tanpa selindung.

Mengulas lanjut tentang soal itu jelas bapa kepada enam orang anak ini, dia faham dan sedar kenyataannya itu akan menimbulkan ketidakselesaan kepada sesetengah pihak tetapi, Faizal tetap dengan pendiriannya.

Bukan mahu tunjuk hebat apatah lagi bersikap sombong, angkuh mahupun bongkak, tetapi pada usianya 37 tahun, jelas Faizal, fokus seninya kini mula beralih arah dan dia lebih selesa untuk berada di belakang tabir.

“Saya mengambil contoh persembahan saya semalam dan ada sebab mengapa saya tampil dengan konsep sedemikian kerana mahu menyalurkan mesej positif kepada masyarakat agar ada keseimbangan dalam kehidupan.

“Apabila saya mendapat respons positif tentangnya, bukankah itu satu kebaikan yang telah dilakukan apabila sesuatu yang cuba untuk kita berikan telah meninggalkan impak yang bukan kecil.

“Mungkin bukan semua tetapi impak itu masih ada walaupun bilangannya kecil, itu sudah memadai dan satu kemenangan buat saya,” jelas bekas pemenang Vokal Terbaik AJL23 (2009) menerusi lagu Sampai Syurga ini optimis.

Ketika ditanya apakah lagu duetnya bersama anak didiknya, Elizabeth Tan berjudul Setia akan dicalonkan untuk Muzik-Muzik tahun ini, Faizal hanya mampu ketawa kecil.

Jelasnya, dia tidak kisah untuk lagu itu dicalonkan tetapi seandainya ada rezeki Setia mara ke peringkat separuh akhir dan seterusnya ke AJL akan datang, dia lebih selesa untuk menyerahkan tugasan nyanyian itu kepada orang lain.