KUALA LUMPUR, 24 Januari:

Memang tidak dapat dinafikan lagi, kejayaan kumpulan Estranged menjulang gelaran Juara Lagu menerusi lagu ciptaan mereka sendiri, Itu Kamu pada Anugerah Juara Lagu ke-22 pada tahun 2008 telah meninggalkan impak yang bukan kecil dalam direktori pertandingan berprestij itu.

Mana tidaknya. Tahun-tahun sebelum kemenangan Estranged, lagu-lagu yang diiktiraf dengan gelaran tertinggi itu adalah dari kategori balada serta Irama Malaysia dan etnik kreatif.

Kali terakhir sebuah kumpulan muzik sebelum Estranged menjulang kejuaraan itu adalah pada tahun 2005 yang menyaksikan kumpulan Spider memenangi AJL19 menerusi lagu Relaku Pujuk.

Bertemu dengan Estranged dalam satu pertemuan di ibu negara baru-baru ini, kumpulan yang dianggotai oleh Rich, Din dan Hanafi itu memang tidak menafikan kemenangan mereka di pentas AJL telah merobah hidup mereka secara total selepas itu.

Apatah lagi, mereka sendiri tidak pernah menyangka kemenangan akan berpihak kepada mereka memandangkan sebahagian besar finalis lain yang bertanding ketika itu adalah dari kalangan mereka yang lebih popular daripada mereka.

Bayangkan, kata mereka, sebuah kumpulan yang namanya begitu kerdil ketika itu dapat menewaskan nama-nama hebat seperti Datuk Siti Nurhaliza, Mawi, Misha Omar dan Andy Flop Poppy.

artis-m-1
Kenangan terindah kumpulan Estranged bersama pemenang kategori lain selepas menjuarai Anugerah Juara Lagu Ke-22 pada tahun 2008. – Foto 1in1m.proboards.com

“Pada ketika itu, muzik indie baru hendak meraih perhatian perhatian peminat muzik arus perdana dan kami melihat kemenangan kami ibarat kuasa baru yang baru keluar dari kepompong.

“Pastinya, kami amat berterima kasih dan terhutang budi dengan AJL dan TV3 kerana jika bukan kerana kemenangan Itu Kamu, kami percaya tidak mungkin untuk kami berada di kedudukan seperti hari ini,” kata vokalis Estranged, Rich atau nama sebenarnya, Richael Lawrence Gimbang penuh rendah diri.

Selepas kemenangan Itu Kamu, Estranged pernah menyertai dua lagi edisi AJL selepas itu masing-masing untuk lagu Yang Pernah dan Aurora pada tahun 2009 dan 2010. Namun, kemenangan tidak pernah berpihak kepada mereka lagi.

Menyambung bicara mereka, sambil mengambil contoh diri mereka sendiri, Din pula menjelaskan AJL sememangnya adalah pentas terbaik buat penyanyi baharu terutamanya dalam menonjolkan bakat masing-masing kepada umum.

Kata Din, daripada maklum balas yang diterima mereka pasca kemenangan mereka di AJL22, ramai artis baharu yang menjadikan mereka sebagai inspirasi untuk terus memperjuangkan muzik mereka.

Apatah lagi, kemenangan mereka pada malam bersejarah itu juga telah merubah landskap muzik tempatan secara total sekaligus menjadi penanda aras baharu untuk terus meyemarakkan dunia muzik negara.

“Jika dilihat pada ketika itu, muzik yang kami tampilkan pun memang baru dan segar untuk khalayak muzik berbanding apa yang telah disajikan kepada umum selama ini.

estranged-m-1
Dengan kelahiran album baharu mereka, Estranged tidak menolak untuk bertanding lagi dalam Muzik-Muzik tahun ini. – Foto TRP/Azrol Ali

“Justeru, apabila karya kami diiktiraf oleh pihak juri yang menilai ketika itu dan kemenangan berpihak kepada kami, ia memang satu pembakar semangat bukan hanya untuk kami tetapi mereka yang sama-sama berjuang dengan kami.

“Lalu, ia membuktikan AJL bukan hanya mengiktiraf karya-karya popular dari arus muzik perdana semata-mata tetapi ia membuktikan jika sebuah lagu itu bagus, tidak kira apa pun, ia akan diterima baik,” jelas Din panjang lebar.

Ketika ditanya apakah mereka akan terus mempertandingkan karya mereka dalam program Muzik-Muzik, Estranged tidak menolak untuk berbuat demikian lantaran mereka sendiri sudah lama menyepikan diri dalam dunia seni.

The Rakyat Post juga sempat bertanyakan kepada Estranged siapakah pilihan bekas juara AJL yang menjadi pilihan mereka dan merasakan telah memberikan impak besar dalam penganjuran anugerah cetusan idea TV3 itu.

“Kami melihat bekas juara AJL21 iaitu Terlalu Istimewa nyanyian Adibah Noor telah menghadirkan gelombang baharu ketika itu.

“Bukan hanya terletak kepada lagu tetapi ia juga telah membuka ruang untuk penyanyi hebat seperti Adibah untuk meneruskan perjuangan seninya,” kata mereka dalam nada penuh diplomasi.

PERSEMBAHAN ESTRANGED DI ANUGERAH JUARA LAGU KE-22 (2008) MENERUSI LAGU ITU KAMU