KUALA LUMPUR, 24 Januari:

Dua tahun lalu, lagu Mewangi yang dipersembahkan oleh Akim & The Majistret gagal ke Anugerah Juara Lagu Ke-29 sehingga mencetuskan perdebatan terutama dari kalangan peminat fanatik mereka.

Rata-rata melahirkan rasa tidak puas hati apabila lagu Mewangi yang merupakan salah sebuah lagu popular dan berpotensi besar mara ke peringkat akhir ketika itu tidak menjadi pilihan juri.

Tetapi, bagi Akim Ahmad atau Akim, dia tidak melihat kegagalan itu sebagai perkara yang mendukacitakan dirinya dan juga ahli The Majistret yang lain tetapi lebih kepada pembakar semangat untuknya membuat yang terbaik tahun ini.

Seperti mana yang semua sedia maklum, Akim & The Majistret berjaya layak ke Anugerah Juara Lagu Ke-30 (AJL30) menerusi lagu Potret yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, malam ini.

“Apa yang berlaku kali ini memang banyak bezanya berbanding apa yang saya lalui tahun lalu menerusi Mewangi. Kali ini, saya tidak menafikan perasaan saya lebih tenang dan relaks untuk membuat persembahan dari peringkat separuh akhir lagi.

“Mungkin disebabkan itu jugalah mengapa Potret layak ke peringkat akhir dan saya tidak mahu membebankan fikiran saya tentang soal kemenangan. Apa yang saya utamakan adalah untuk menjadi selesa di atas pentas membuat persembahan.

“Bukannya saya tidak ada perasaan gemuruh atau tekanan, tetapi saya cuba seimbangan dengan aura positif agar ia tidak mengganggu saya untuk membuat persembahan malam ini,” kata Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad itu dalam nada penuh rendah diri.

Ada sesuatu yang menarik untuk diperkatakan tentang penyertaan penyanyi berusia 25 tahun itu dalam AJL30 apabila ia merupakan kali kedua Akim menyertai AJL selepas enam tahun.

Akim
Mampukah Akim & The Majistret menjulang kejuaraan pada Anugerah Juara Lagu Ke-30 malam ini? – Foto TRP/Wan Kah Hoong

Jika ada yang masih ingat lagi, kali pertama penyanyi kelahiran Johor Bahru, Johor itu menyertai pertandingan berprestij itu adalah pada tahun 2010 sewaktu dia bertanding atas tiket lagu Bengang ciptaan bersama Amir dan Sheikh Qalam.

Namun, ketika itu dia adalah penyanyi solo dan enam tahun berikutnya, dia kembali bersama kumpulannya sendiri yang pastinya telah menampakkan kematangannya sebagai seorang penyanyi.

“Sewaktu mempertandingkan Bengang, saya masih baharu dan usia saya ketika itu adalah 18 tahun. Jadi, saya banyak mengikut kata telunjuk orang di sekeliling dalam menjayakan persembahan saya untuk Bengang.

“Tetapi, kali ini perasaan itu berbeza kerana pada usia saya sekarang, saya sudah tahu apa yang mahu lakukan dan idea itu saya kongsi bersama anggota kumpulan lain bagi memastikan persembahan kami meninggalkan impak nanti.

“Bagi diri saya, persembahan saya pada malam nanti boleh disifatkan sebagai kemaafan dendam yang terindah untuk saya menebus kembali apa yang telah saya lakukan sebelum ini baik sewaktu Bengang mahupun Mewangi,” ujar tunangan Stacy ini dengan maksud cukup mendalam.

Dalam pertemuan itu juga, Akim turut mendedahkan identiti sebenar di sebalik komposer dan penulis lirik lagu Potret yang rupanya adalah Akim dan abangnya, Afham Zulhusmi yang masing-masing menggunakan nama pena, Hang Nadim dan Kamar Empayar.

Cerita pemenang Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik Ke-21 (2014) menerusi lagu Mewangi itu lagi, pada asalnya lagu Potret adalah untuk lagu solonya.

Tetapi selepas salah seorang anggota The Majistret, Zimi mendengarnya, dia berpendapat lebih sesuai untuk dijadikan sebagai single kedua selepas Mewangi. Adakah lagu Potret mampu untuk dijulang sebagai Juara Lagu malam ini? Sama-sama kita nantikan.