KUALA LUMPUR, 23 Januari:

Sehingga ke hari ini, ramai yang masih membicarakan tentang pertandingan nyanyian Gegar Vaganza (GV) biarpun program terbitan Astro itu sudah lama melabuhkan tirainya.

Ibaratnya demam program itu dilihat masih belum kebah dan lebih menarik apabila barisan artis yang pernah menyertai pertandingan itu masih lagi digilai peminat serta menjadi tumpuan terutama juara musim keduanya, Siti Nordiana.

Menyedari akan penangan luar biasa yang terhasil menerusi program berkenaan, baru-baru ini Astro dengan kerjasama Istana Budaya (IB) dan penaja utamanya, Pamoga Qu Puteh telah pun mementaskan Konsert Mega Gegar Vaganza di Panggung Sari, IB.

Berlangsung selama tiga malam, konsert berkenaan telah menggabungkan sebahagian besar barisan penyanyi yang pernah menyertai program berkenaan pada musim pertama dan kedua.

The Rakyat Post berpeluang menonton konsert berkenaan pada malam penutupnya (17 Januari) dan rasanya masih belum terlewat untuk membuat ulasan mengenai konsert berkenaan yang telah mendapat sambutan luar biasa daripada penonton.

Apatah lagi dikhabarkan bahawa konsert tersebut juga telah dirakamkan dan akan ditayangkan di Astro tidak lama lagi sementara kehangatannya masih terasa.

Namun, belum dapat dipastikan sama ada konsert selama tiga malam itu akan disiarkan di saluran percuma sedia ada atau saluran berbayar bagi tayangan eksklusif buat penonton stesen berbayar terunggul negara itu.

Berbalik kepada Konsert Mega Gegar Vaganza itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa barisan penyanyi yang terlibat pada malam penutup itu telah memberikan persembahan terbaik.

IMG_9312
Amir membuktikan bahawa dia sebenarnya memang layak untuk diangkat sebagai salah seorang penyanyi lelaki terbaik negara. – Foto TRP/Azrol Ali

Malah, ada di antara mereka yang dapat terus mengekalkan kehebatan nyanyian mereka di atas pentas dengan mutu suara yang cukup mantap.

Dalam konteks ini, saya memuji persembahan bekas vokalis kumpulan Ukays, Amir yang mempersembahkan lagu Kekasihku Di Menara sehingga meninggalkan kesan yang mendalam kepada audiens.

Kejituan vokal Amir memang tidak dapat disangkal lagi dan saya sendiri meletakkan dirinya sebagai salah seorang penyanyi lelaki terbaik negara yang berada dalam liganya tersendiri.

Begitu juga dengan bekas vokalis kumpulan Mega, Rahmad Tohak yang memukau hadirin dengan rendisinya sendiri untuk lagu Bunga Angkasa yang merupakan nyanyian asal kumpulan Terra Rossa selain berduet dengan Ezad Lazim menerusi lagu popular Datuk M. Nasir, Suatu Masa.

Ezad juga tidak kurang hebatnya. Vokal yang dimiliki oleh bekas calon Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak dua kali itu sememangnya mengagumkan dan tidak pernah mengecewakan.

Bisik seorang teman di sebelah saya yang memberitahu suara Ezad memang sama seperti mana didengar menerusi rakaman. Lagu Penantian (Black Rose) telah dibawakan olehnya dengan cukup merdu dan tidak langsung kedengaran canggung.

Bekas juara GV musim pertama, Ayai juga tidak kurang menariknya membawakan lagu asal nyanyian kumpulan CRK, Cinta dan Airmata sementara pemenang tempat kelima GV musim kedua, Acong memikat audiens dengan lagu malar segar, Hakikat Sebuah Cinta (Iklim).

IMG_9438
Lagu Bukan Belas Bukan Simpati membuktikan Azian Mazwan Sapuwan masih lagi berupaya untuk meneruskan kerjanya sebagai seorang penyanyi. – Foto TRP/Azrol Ali

Namun, ada kesilapan kecil yang dilakukan oleh Acong apabila dia ‘terlajak’ menyanyi sebelum muzik masuk dan kesalahan serupa turut diulangi oleh Farahdhiya sewaktu menyampaikan lagu Penasaran.

Bukan mahu menidakkan kemampuan mereka tetapi sebagai penyanyi berpengalaman terutama sudah beraksi di pentas GV, kesilapan seperti itu tidak seharusnya berlaku. Akan tetapi, ia boleh dimaafkan kerana barangkali ia mungkin pengalaman pertama mereka menyanyi bersama orkestra.

Seorang lagi penyanyi yang sebenarnya versatil dan memiliki bakat terpendam selama ini adalah Haiza yang membuktikan bahawa dia tidak terikat dengan satu-satu genre sahaja.

Pada malam konsert itu, Haiza mendendangkan lagu Hajat (Haida) dengan cara tersendiri yang wajar dipuji lalu membuktikan bahawa sebenarnya genre pop juga mampu menjadi makanannya selain dangdut.

Tidak cukup dengan itu, Haiza yang cukup masyhur dengan lagu Dag Dig Dug itu turut berduet dengan Haleeda menerusi lagu Sedang Ingin Bercinta dan Rahmad (Jangan Pisahkan).

Kemunculan penyanyi Azian Mazwan Sapuwan juga juga tidak kurang hebatnya apabila menyampaikan lagu popularnya, Bukan Belas Bukan Simpati yang membuktikan keampuhan vokalnya masih berada dalam kelas tersendiri.

Namun, paduan suaranya bersama Siti Nordiana menerusi lagu Hati Kama (Datuk Siti Nurhaliza & Noraniza Idris) kelihatan tidak begitu menjadi kerana kehebatan gandingan penyanyi asalnya masih lagi kuat sehingga ke hari ini.

Selaku juara, Siti Nordiana tidak menghampakan dan membuktikan kemampuan vokalnya apabila menyampaikan lagu Kesilapanku, Keegoanmu (Siti Nurhaliza) dengan cara tersendiri selain memilih lagu Hindustan popular masa kini, Janam Janam yang mendapat tepukan gemuruh.

IMG_9713
Juara Gegar Vaganza musim kedua, Siti Nordiana memukau audiens dengan lagu Janam Janam dengan cara tersendiri. – Foto TRP/Azrol Ali

Tidak dilupakan, penyanyi asal Negeri Sembilan itu turut berduet dengan Ezad menerusi lagu Memori Berkasih sebelum tirai panggung dilabuhkan.

Antara penyanyi lain yang membuat persembahan termasuklah Nassier Wahab (Biarlah Bulan Bicara), Sam Innuendo (Belaian Jiwa) serta duet antara Sam dan Farahdhiya bagi lagu I Want To Spend My Lifetime Loving You (Marc Anthony & Tina Arena).

Akan tetapi, bagi saya persembahan terbaik dan kemuncak kepada konsert malam itu adalah paduan suara oleh dua bekas vokalis kumpulan Exists, Mamat dan Ezad menerusi lagu malar segar, Langkah Seiringan.

Kemunculan Mamat memang cukup mengejutkan kerana sebelum ini namanya memang tiada dalam senarai artis yang membuat persembahan.

Secara tidak langsung, paduan suara itu telah membangkitkan satu perasaan luar biasa kepada audiens sekaligus mengimbau kenangan silam sewaktu lagu itu mencipta kejayaan dan fenomena di awal tahun 90-an.

Saya percaya jika ada pihak yang mahu menerbitkan konsert dengan menggabungkan kumpulan Exists bersama Mamat dan Ezad, ia akan menjadi sebuah persembahan yang ditunggu-tunggu dan tidak mustahil akan mencipta kejayaan.

Buat peminat GV, pastikan anda sentiasa menantikan pengumuman dari masa ke semasa untuk tayangan konsert ini di televisyen kelak.

IMG_9852
Berkemungkinan besar Konsert Mega Gegar Vaganza yang berlangsung selama tiga malam akan ditayangkan di Astro tidak lama lagi. – Foto TRP/Azrol Ali