KUALA LUMPUR, 22 Januari:

Jika diikutkan perancangan awal penyanyi nombor satu negara ini, tahun 2016 adalah tahun untuknya berehat dan menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga selain mahu terus berusaha mendapatkan zuriat.

Apatah lagi, selepas melalui episod duka selepas keguguran bulan lalu membuatkan Datuk Siti Nurhaliza tekad untuk berehat seketika daripada dunia seni.

Namun, sudah tertulis bahawa rezeki tetap berpihak kepada diri penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Cindai dan Purnama Merindu ini apabila perkhidmatan streaming muzik terbaharu, Yonder Music menawarkan dirinya untuk mengadakan sebuah konsert istimewa.

Menariknya, konsert yang bakal diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Mac nanti akan menyaksikan dimensi baharu Siti Nurhaliza sebagai seorang penghibur selepas dua dekad mengabdikan diri dalam dunia seni.

Bertemu dengan penyanyi yang cukup mesra membahasakan dirinya sebagai Siti ini pada majlis sambutan hari lahirnya di kediamannya baru-baru ini, ternyata penyanyi yang baru sahaja menginjak usia 37 tahun pada 11 Januari lalu ini terharu dan bersyukur kerana diberi peluang sedemikian.

“Mereka (Yonder Music) mahu saya memberikan sesuatu yang berbeza untuk konsert itu kelak dalam pelbagai aspek baik dari segi susunan muzik, corak persembahan dan juga busana yang akan digayakan pada dua malam itu nanti.

“Semestinya saya sendiri melihat peluang ini adalah platform untuk terus mencabar diri saya dalam memberikan sesuatu yang berbeza kepada peminat kerana mahu memberikan kelainan.

“Lebih-lebih lagi apabila pihak mereka mempunyai perancangan yang besar untuk diri saya sendiri menerusi konsert ini nanti yang membuatkan saya memang teruja dan dalam masa yang sama juga berdebar,” kata Siti yang merupakan pemenang Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak 12 kali itu penuh merendah diri.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Yonder Music, Adam Kidron yang ditemani Pengarah Pemasaran Yonder Music Asia, Joyce Lim.

S_m
Konsert percuma khusus untuk pengguna Yonder Music pada bulan Mac ini akan memperlihatkan sisi berbeza Siti Nurhaliza sebagai penghibur. – Foto TRP/Daniel Chan

Menyambung bicaranya, anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang membuat keputusan untuk menerima tawaran itu adalah kerana konsert berkenaan diadakan sebelum bulan April meskipun bulan tersebut adalah bulan ulang tahun pembabitannya yang ke-20 dalam dunia seni.

Ini kerana kata penyanyi yang kini sedang popular dengan lagu Milikmu Selamanya itu, dia sememangnya sudah merancang untuk bercuti dan berehat bermula April sehingga selepas sambutan Aidilfitri kelak.

“Dalam erti kata lain, konsert ini kelak adalah konsert terakhir saya sebelum berehat nanti. Saya memang mahu mengambil peluang untuk memberikan fokus kepada diri saya sendiri serta keluarga.

“Akan tetapi, untuk persembahan pentas atau makan malam, saya akan teruskan dan masih menerimanya. Begitu juga dengan rakaman album dan lagu yang akan dilakukan tahun ini kerana ia tidak melibatkan banyak pergerakan aktif,” ujar bekas juara Bintang HMI 1995 ini tanpa selindung.

Sementara itu, Kidron yang ditemui pula berkata, pemilihan Siti untuk konsert sulung anjuran Yonder Music itu adalah kerana status dan kejayaan penyanyi itu yang bukan hanya diminati dan disayangi oleh peminat di negara ini tetapi juga di negara jiran.

Justeru, pihaknya yakin dengan kemampuan Siti untuk beraksi dan memberikan persembahan terbaik untuk konsert tersebut memandangkan pihaknya sudah mengatur strategi untuk membawa Siti ke peringkat lebih tinggi.

S_m3
Yonder Music akan mengumumkan sesuatu yang besar dan boleh dianggap sebagai satu kejutan buat peminat Siti Nurhaliza tidak lama lagi. – Foto TRP/Daniel Chan

Disebabkan itu jugalah, kata Kidron, konsert itu kelak akan menampilkan perbezaan dan jarang dilakukan dalam konsert tempatan apabila ia menampilkan tiga segmen berbeza dalam sebuah persembahan iaitu akustik pop, pop dan diakhiri dengan orkestra.

“Ia bukan sebuah konsert tipikal menampilkan tiga segmen itu satu demi satu tetapi ia akan memperlihatkan transisi muziknya berlaku secara serentak yang bakal memberikan satu penontonan yang memang lain daripada lain.

“Peminat dan penonton bukan hanya dapat melihat konsert ini di Dewan Plenari tetapi ia juga bakal ditayangkan di beberapa pawagam tempatan terpilih yang turut ditayangkan secara langsung.

“Lebih hebat lagi apabila tidak sampai tempoh 24 jam selepas berakhirnya konsert itu nanti, pengguna Yonder Music sudah dapat menikmati rakaman konsert itu secara eksklusif sementara menanti album fizikalnya berada di pasaran kelak,” kata Kidron dalam nada cukup positif.

Dalam pertemuan itu juga, Kidron turut mengumumkan akan ada kejutan besar menanti peminat apabila Siti akan terlibat dalam sebuah projek istimewa yang dilihat akan dapat terus mengukuhkan kedudukan Siti di rantau ini selain dapat melebarkan sayap seninya ke peringkat global.

Bagi menghangatkan lagi kehadiran konsert itu nanti, pertandingan mencipta playlist (senarai lagu) istimewa untuk Siti akan diadakan kelak khusus buat peminat Siti yang juga pengguna Yonder Music.