KUALA LUMPUR, 21 Januari:

Tanyalah kepada mana-mana pasangan yang berkahwin, tiada seorang pun daripada mereka yang mahu memilih perceraian sebagai jalan penyelesaian kepada masalah rumah tangga yang dihadapi.

Sedangkan agama Islam sendiri juga tidak gemar seandainya perceraian itu berlaku tetapi apabila masalah itu sudah tidak dapat menemui jalannya, maka, lebih baiklah bercerai secara baik.

Pastinya tarikh 20 Januari 2016 akan meninggalkan kesan yang bukan sedikit buat aktres sensasi, Fasha Sandha, 32, apabila dia diceraikan talak satu oleh suaminya, Rizal Ashram Ramli, 39, dalam satu prosiding tertutup yang di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, semalam.

Berita itu ternyata cukup mengejutkan ramai pihak meskipun sebelum ini desas-desus tentang rumah tangga mereka yang dibina hampir empat tahun itu yang dikatakan berantakan sudah pun dapat dihidu.

Ditambah pula dengan status bebaur sedih dan kecewa yang seing dimuat naik ke laman Instagram milik Fasha sebelum ini telah menguatkan lagi dakwaan bahawa rumah tangganya memang sedang berhadapan dengan masalah.

Walau bagaimanapun, baik Fasha mahupun Jejai, masing-masing lebih selesa untuk tidak mengulas lanjut dan memberikan sebarang komen agar mereka diberi ruang untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi.

Memetik kata pepatah lama, “Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.” Barangkali kedengaran klise tetapi saya percaya perumpaan itu tepat untuk menggambarkan apa yang dilalui oleh Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan itu.

Sebagai seorang wanita, sudah tentu Fasha menginginkan istana cinta yang dibina atas dasar cinta itu akan dapat terus membawanya ke syurga tetapi apakan daya, segalanya sudah tertulis di Luh Mahfoz bahawa kebahagiaan yang dimiliki oleh Fasha hanyalah bersifat sementara sahaja.

Bahkan, daripada perbualan singkat saya dengan seorang penerbit drama tempatan terkenal, beliau sendiri melihat perubahan Fasha selepas berkahwin yang lebih memberikan fokus dan tumpuan terhadap keluarga sehingga sanggup mengurangkan aktiviti lakonannya.

fasha-m-2
Ikatan cinta yang terbina antara Fasha Sandha dan Jejai sehingga membawa ke jenjang pelamin dan memberikan mereka dua cahaya mata ternyata sudah menemui noktah cinta. Gambar ini dirakamkan sewaktu majlis aqiqah anak kedua mereka sekitar lebih kurang setahun lalu. – Foto www.ohmedia.my

Sepanjang bergelar seorang wartawan hiburan, saya tidak menafikan selama Fasha bergelar seorang selebriti, dirinya sendiri mahupun kisah peribadinya memang menjadi tumpuan masyarakat dan pihak media.

Maklumlah, wanita cantik dan popular seperti Fasha, memang tidak sah kalau tidak menjadi buruan ramai untuk mendapatkan kisah baharu daripadanya.

Malah, saya sedar dan tahu apa yang sudah dan pernah dilalui oleh pelakon yang pernah meledak menerusi drama bersiri Natasha ini selama dia berada dalam industri sehingga dia pernah dilemparkan dengan pelbagai konotasi negatif.

Artikel ini bukanlah untuk memihak kepada Fasha atau sesiapa pun tetapi sebagai seorang insan yang mempunyai hati dan perasaan, saya tumpang simpati dengan Fasha untuk apa yang dilaluinya selama ini.

Malah, saya juga percaya dengan tersebarnya berita perceraiannya itu, tidak kurang juga ada yang seolah-olah gembira dengan apa yang berlaku sekaligus mengibaratkannya sebagai balasan atas apa yang pernah terjadi seperti mana yang khalayak sudah sedia maklum.

Sebagai orang luar, kita tidak seharusnya menghakimi sesiapa pun kerana bukannya kita berada dalam situasi yang dihadapi oleh Fasha dan Jejai. Apa sahaja yang berlaku hanya mereka dan Allah SWT sahaja yang tahu.

Biarpun khabar angin bertiup kencang mengatakan masalah rumah tangga yang dihadapi oleh Fasha sedikit sebanyak berpunca daripada bekas isteri Jejai iaitu aktres Nora Danish dan melibatkan keluarga Jejai sendiri, namun siapa kita untuk mengiyakan perkara tersebut.

Andai terus diperkatakan dan dituding kepada mana-mana pihak tanpa ada kebenarannya, perkara itu sudah jatuh menjadi satu fitnah. Jadi, adalah lebih baik untuk kita sebagai orang Islam terus mendoakan yang terbaik buat Fasha dan Jejai kerana kuasa Allah SWT melangkaui segala-galanya.

Siapa tahu, esok lusa ikatan cinta mereka kembali bertaut semula lalu menyambungnya semula demi anak-anak mereka, Putra Rayfal dan Putri Raysha Jemyma yang masing-masing berusia dua dan satu tahun hasil daripada perkahwinan mereka pada tahun 2012.

Buat Fasha dan Jejai, kami di The Rakyat Post mendoakan agar semoga kalian berdua tabah menghadapi dugaan dan ujian ini untuk menjadikan anda lebih kuat mengharungi kehidupan.