KUALA LUMPUR, 19 Januari:

Di sebalik kesuraman dunia perfileman tempatan yang semakin sukar ditelah dan diramal dalam menarik perhatian penonton ke pawagam, filem Mat Moto arahan pengarah muda, Syafiq Yusof, 23, dilihat telah memberikan sinar baharu untuk penggiat seni tempatan.

Filem keempat arahan bekas pemenang Pengarah Harapan Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-25 (FFM25-2013) menerusi filem SAM: Saya Amat Mencintaimu itu ternyata mengejutkan dan membuka ramai pihak apabila berjaya mencatatkan kejayaan luar biasa dengan kutipan sebanyak RM1 juta dalam sehari pada hari pembukaannya pada 14 Januari lalu.

Sehingga hari ini filem yang turut diarahkan bersama pelakon Pekin Ibrahim itu dikhabarkan telah berjaya melepasi angka RM3 juta dan peramal industri meramalkan filem Mat Moto itu mampu mencapai kutipan RM5 juta pada penghujung tahun ini.

Biarpun di awal pembikinan filem tersebut terpalit dengan kontroversi ekoran percanggahan idea dan konsep filem yang menggunakan judul serupa dengan filem arahan Ahmad Idham, ternyata ia tidak menghalang untuk Mat Moto arahan Pekin dan Syafiq ini diterima dengan baik.

Ketika dihubungi The Rakyat Post, ternyata pengarah muda yang baru sahaja bergelar bapa itu terharu dan bersyukur dengan rezeki yang berpihak kepadanya dan Pekin menerusi Mat Moto.

“Jujurnya, tiada sebarang rahsia apabila memperkatakan tentang kejayaan yang dikecapi oleh Mat Moto ketika ini. Bagi saya, semuanya adalah rezeki Allah SWT.

“Dari sudut aspek lain, saya melihat penonton masa kini terutama generasi baharu menggemari filem Mat Moto kerana budaya permotoran itu barangkali dekat dengan jiwa mereka sementelah ia juga popular di kalangan remaja di negara ini,” jelas Syafiq memberikan jawapannya menerusi aplikasi WhatsApp kepada The Rakyat Post.

Dalam masa yang sama, Syafiq atau nama sebenarnya Muhamad Syafiq Mohd. Yusof turut memberitahu alasan utamanya untuk mengarahkan Mat Moto adalah kerana idea yang diutarakan oleh Pekin.

matmotor-m-2
Pekin Ibrahim dan Syamsul Yusof merupakan antara pelakon yang membintangi filem Mat Moto yang semakin mendapat perhatian ramai itu. – Foto Empire Film Solution

Bagi Syafiq yang juga pengarah filem Villa Nabila dan Abang Long Fadil itu, apa yang diberikan oleh Pekin menerusi ideanya untuk melahirkan filem Mat Moto adalah sesuatu yang unik selain mendapat sokongan padu daripada kumpulan mat motor di seluruh negara.

“Melihatkan kepada kejayaan Mat Moto, saya akui tidak mustahil untuk meneruskan filem susulannya (sekuel) dan kami pun sudah merancang untuk melakukannya. Tetapi, semuanya masih di peringkat perbincangan lagi,” kata bekas calon Pengarah Terbaik FFM25 menerusi filem SAM itu lagi.

Dalam perkembangan lain, anak bongsu kepada pasangan Datuk Yusof Haslam dan Datin Fatimah Ismail ini turut memberitahu selama hampir enam tahun berkecimpung dalam dunia pengarahan filem, dia bertuah kerana dapat meneroka pelbagai teknik dan corak pengarahan dalam setiap filem arahannya.

Sambil memberikan contoh filem Abang Long Fadil yang juga mencatatkan kutipan pecah panggung sebanyak RM4.8 juta, kepuasannya mengarahkan filem itu adalah berbeza kerana ia banyak menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI).

“Begitu juga dengan filem SAM dan Villa Nabila yang mana kesemuanya memberikan pengalaman baharu dan berbeza yang membuatkan saya mahu terus hasilkan karya dalam acuan sendiri selain menepati kehendak pasaran massa hari ini,” ujar Syafiq dalam nada optimis.

Sehingga ke hari ini, Syafiq sudah mengarahkan tujuh buah filem di mana tiga daripadanya masih menunggu giliran tayangan iaitu Desolusi, Lagenda Long Piah dan Abang Long Fadil 2.

Filem Mat Moto yang diterbitkan hasil usahasama tiga syarikat iaitu Skop Productions, Viper Studios dan Fimtab Professional Film itu masih lagi ligat diputarkan di pawagam tempatan.

Selain Pekin sendiri yang memegang watak utama dalam filem itu, ia turut dibarisi pelakon ternama tanah air termasuklah Datuk Rosyam Nor, Faizal Hussein, Shaheizy Sam, Syamsul Yusof, Cat Farish, Kamarool Yusof, Zulhuzaimy Marzuki dan aktres muda, Falisha Crossley.