KUALA LUMPUR, 19 Januari:

Pelakon yang kini mula mengorak langkah sebagai pengarah filem, Pekin Ibrahim, 35, tidak menjangkakan filem Mat Moto mendapat sambutan luar biasa daripada penonton filem tempatan apabila ia sudah pun melepasi kutipan RM3 juta.

Apatah lagi, kata Pekin, apabila memikirkan kesuraman dunia perfileman tempatan lewat kebelakangan ini dengan bilangan filem yang mencatatkan kutipan kurang memberangsangkan, Mat Moto telah memberikan sinar harapan baharu buat dirinya sebagai seorang pengkarya.

Biarpun menjadi pengarah bersama Syafiq Yusof dalam menghasilkan Mat Moto, setidak-tidaknya kata Pekin, ia adalah satu peluang terbaik buatnya untuk meneroka cabang seni baharu walaupun di awalnya niatnya itu bagaikan diperlekehkan oleh sesetengah pihak.

“Kejayaan filem Mat Moto benar-benar mengejutkan saya kerana bukan mudah untuk saya menjual idea filem ini kepada penerbit filem tempatan dan menyakinkan mereka.

“Namun, saya tidak pernah berputus asa dan mahu meneruskan projek filem ini. Memang sudah tertulis untuk saya bertemu dengan Syafiq dan ternyata dia begitu terbuka menerima idea saya ini lalu kami bekerjasama untuk merealisasikannya.

“Syukur Alhamdulillah. Kejayaan menjadi milik kami berdua dan memang sudah ditakdirkan rezeki Mat Moto berpihak kepada saya dan Syafiq,” ujar Pekin atau nama sebenarnya, Mohd. Iznan Ibrahim dalam penuh rendah diri sewaktu dihubungi The Rakyat Post, hari ini.

Sejak mula ditayangkan di pawagam pada 14 Januari lalu, Mat Moto yang dibintangi Datuk Rosyam Nor, Faizal Hussein, Shaheizy Sam dan Syamsul Yusof itu mencipta rekod baharu apabila membuat kutipan sebanyak RM1 juta pada hari pembukaannya sahaja.

Setakat ini, kutipannya pun sudah melebihi RM3 juta selepas hampir seminggu tayangannya dan angka itu dijangka akan bertambah menjelang penghujung minggu ini sempena cuti umum.

matmotor-m-4
Bagi Pekin Ibrahim, dia mahu masyarakat melihat filem Mat Moto bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi ada maksud tersirat yang wajar diberi perhatian. – Foto www.backstage.com

Menyentuh tentang kontroversi yang melanda pemeran watak Bakar dalam filem Bunohan itu bersama pengarah Ahmad Idham yang turut menghasilkan dan mengarahkan sebuah filem dengan menggunakna judul sama, Pekin tidak mahu memanjangkan lagi isu tersebut.

Baginya, apa yang berlaku adalah satu sejarah silam yang mahu disimpan rapi kerana apa yang penting baginya ketika ini adalah untuk terus berjalan ke hadapan tanpa menoleh ke belakang lagi.

“Apa yang berlaku antara kami saya sifatkan sebagai salah faham sahaja. Memang pada awalnya, dia (Ahmad Idham) dia tidak berminat untuk menghasilkan filem ini bersama saya.

“Saya pula tidak boleh menunggu lama dan perlu mencari peluang lain untuk merealisasikan idea filem saya ini. Seperti mana yang saya katakan, takdir Allah SWT sudah tertulis untuk saya dipertemukan dengan Syafiq yang ternyata berminat untuk bekerjasama.

“Bagi saya, apa yang telah berlaku ada hikmah di sebaliknya dan saya menghormati Ahmad Idham sebagai seorang senior. Saya pula masih baru dalam bidang pengarahan ini dan dia antara salah seorang yang saya hormati dan kagum dengan pencapaiannya selama ini,” kata bekas calon Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-25 (FFM25-2013) menerusi filem Bunohan itu lagi.

Dalam pada itu, ketika ditanya apakah tema dunia permotoran dipilih sebagai satu eksperimentasi bagi pengarah baharu sepertinya, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini menjelaskan ia sudah dianggap sebati dengan masyarakat Melayu khususnya terutama golongan muda hari ini.

Ujarnya, meskipun secara zahirnya, Mat Moto barangkali dianggap sebagai tiada pembaharuan lantaran beberapa buah filem dengan konsep serupa sudah diterbitkan sebelum ini, namun Pekin melihat filem arahannya itu dari sudut pandang berbeza.

matmotor-m-2
Bukan sahaja mengarah tetapi Pekin Ibrahim juga turu memegang watak utama di samping Syamsul Yusof dalam filem Mat Moto. – Foto Empire Film Solution

“Kalau dikaji, bukan semua filem bercorak sebegini membuat kutipan pecah panggung. Disebabkan itu, saya dan Syafiq mahu menampilkan kelainan dari sudut naratif yang jauh berbeza dengan apa yang sudah dihasilkan sebelum ini.

“Bagaikan ada satu pandangan skeptikal tentang filem yang memaparkan dunia permotoran yang lebih kepada aksi tetapi kami tidak menjadikannya klise dan saya percaya barangkali itu adalah faktor mengapa Mat Moto diterima baik,” jelas pelakon filem Coverina dan Villa Nabila ini penuh optimis.

Dari satu aspek lain jelas bekas tunang kepada aktres jelita Uqasha Senrose ini, bilangan jumlah mat motor atau penggemar motosikal di negara ini juga tidak kurang hebatnya yang membuatkan Mat Moto mendapat sambutan menggalakkan.

Bahkan untuk seseorang yang meminati dunia permotoran seperti Pekin, dia menggunakan pengalamannya sendiri untuk memantau dari sudut realistik naratif Mat Moto itu sendiri.

“Jika semuanya berjalan dengan baik, Insya Allah, kami akan menghasilkan sambungan filem Mat Moto. Semuanya bergantung kepada kutipan akhirnya nanti dan kami pun masih dalam proses perbincangan.

“Apa yang pasti, kalau ia menjadi kenyataan, filem seterusnya akan menjadi baik daripada filem pertamanya,” jelasnya dalam nada penuh harapan.