KUALA LUMPUR, 15 Januari:

Sesuatu yang agak mengejutkan dan mendukacitakan tentang berita mengenai kesihatan bekas pelakon lelaki terkenal yang kini seorang pendakwah bebas, Azmil Mustapha, 63, yang kini dikatakan agak kritikal selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU), Hospital Putrajaya, semalam.

Menurut kenyataan terbaharu yang dimuat naik oleh adiknya, Aziph Mustapha di laman Facebook miliknya beberapa jam lalu, selepas bertemu dengan pakar bius yang merawat abang kesayangannya itu, pasukan dari CCU di hospital tersebut akan membuat percubaan untuk tidak memberikan ubat penenang kepada Azmil.

Dalam masa yang sama juga, kata Aziph lagi, pihak unit berkenaan juga akan cuba ntuk mengurangkan pergantungan Azmil terhadap ubat-ubatan dan mesin yang kini sedang cuba untuk menstabilkan keadaan dirinya.

“Sesungguhnya tiada lain yang dapat saya katakan apabila untuk melihat keadaan seorang abang yang satu ketika dahulu cukup gagah kini sedang terbaring dengan menggunakan alat bantuan sokongan hayat.

“Ini adalah masa yang sangat berbahaya dan kritikal selepas doktor yang baik hati itu memberitahu saya keadaan yang akan berlaku kepada dirinya jika abang saya tidak lagi bergantung kepada sebarang ubat dan mesin.

“Saya mengharapkan agar semua pihak dapat meneruskan berdoa yang terbaik dan memberikan semangat positif buat abang saya agar dia dapat pulih seperti sedia kala seandainya. Insya Allah, seandainya sudah tertulis bahawa abang saya akan kembali sihat, maka, itu adalah apa yang sudah tertulis,” ujar Aziph yang bergegas pulang dari Langkawi sebaik sahaja mendapat perkhabaran buruk tentang abangnya itu.

Pagi semalam, Azmil atau nama sebenarnya Mohammad Azmil Mustapha yang juga bekas pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Keenam (1986) menerusi filem Ali Setan itu dimasukkan ke CCU selepas keadaannya menjadi lemah akibat serangan jantung.

Menurut kenyataan Aziph lagi, pada ketika itu, keadaannya masih lagi terkawal dan stabil. Malah, dia masih lagi boleh berbual dan bergurau senda seperti mana yang diberitahu oleh ahli keluarga lain kepadanya.

Tetapi, secara tiba-tiba bapa kepada lima orang anak itu mengadu sakit dada yang kemudiannya membuatkan doktor di unit tersebut membuat keputusan untuk memberikannya bius dan meletakkan alat pernafasan kepadanya.

Sementara itu, percubaan The Rakyat Post untuk menghubungi waris dan ahli keluarga Azmil tidak berjaya apabila panggilan tidak berjawab serta mesej tidak berbalas bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Kami The Rakyat Post mendoakan agar kesihatan Azmil akan kembali pulih seperti sedia kala dan dapat menjalani kehidupan normal semula di samping keluarga tercinta.