KUALA LUMPUR, 14 Januari:

Sudah menjadi resmi dalam kalendar musim anugerah di Hollywood, sehari sebelum pengumuman senarai pencalonan akhir Oscar yang mengiktiraf hasil karya terbaik sepanjang tahun, industri filem di sana turut ‘meraikan’ dari kalangan mereka yang dikategorikan sebagai terburuk.

Anugerah Golden Raspberry atau singkatannya, Razzie yang mula diperkenalkan pada tahun 1980 itu dianjurkan bagi mengiktiraf hasil karya yang mendapat ulasan atau kritikan negatif mahupun kutipan kurang memberangsangkan.

Sebelum pengumuman Oscar, pihak Yayasan Anugerah Golden Raspberry telah pun mengeluarkan senarai rasmi Anugerah Razzie ke-36 yang dijadualkan berlangsung pada 27 Februari ini.

Untuk musim anugerah kali ini telah memperlihatkan ‘kehebatan’ filem romantik erotik, Fifty Shades of Grey bersama-sama tiga filem lain iaitu Pixels, Jupiter Ascending dan Paul Blart: Mall Cop 2 mendahului senarai pencalonan kali ini dengan masing-masing menerima enam pencalonan.

Biarpun menjadi salah sebuah filem terlaris di dunia tahun lalu, kejayaan itu tidak dapat membantu filem Fifty Shades of Grey untuk tidak dicalonkan dalam Anugerah Razzie kali ini.

Filem tersebut dicalonkan untuk Filem Terburuk manakalah pelakon lelaki dan wanitanya, Jamie Dornan dan Dakota Johnson masing-masing menerima pencalonan untuk Pelakon Lelaki dan Wanita Terburuk.

Malah, gandingan mereka dalam filem itu juga telah ‘melayakkan’ mereka disenaraikan sebagai salah satu calon dalam kategori Gandingan Layar Terburuk manakala pengarahnya, Sam-Taylor Johnson pula dicalonkan sebagai Pengarah Terburuk.

Sementara itu, filem adiwira Fantastic Four yang diramalkan akan mendominasi anugerah kali ini hanya tercalon untuk lima kategori sahaja termasuk Filem Terburuk dan Filem Sekuel, Remake atau Rip-Off Terburuk serta Lakon Layar Terburuk.

Movie-m-7
Seperti yang dijangka, filem reboot Fantastic Four antara karya terburuk yang dihasilkan tahun lalu dan merupakan salah sebuah filem yang tercalon sebagai Filem Terburuk.

Nasib Fantastic Four agak ‘baik’ apabila tiada seorang pun daripada para pelakonnya dicalonkan dalam kategori lakonan secara individu tetapi gandingan keempat-empatnya tersenarai sebagai salah satu calon untuk Gandingan Layar Terburuk.

Menyentuh tentang kategori lakonan pula, bintang komedi yang dikatakan semakin malap sinarnya, Adam Sandler menerima pencalonan buat kali ke-14 untuk Pelakon Lelaki Terburuk bagi dua filem lakonannya yang mendapat kritikan negatif serta kutipan rendah iaitu The Cobbler dan Pixels.

Untuk kategori itu, Sandler akan bersaing dengan empat calon lain iaitu Johnny Depp yang dicalonkan bagi filem Mortdecai, Jamie Dornan (Fifty Shades of Grey), Kevin James (Paul Blart: Mall Cop 2) dan Channing Tatum (Jupiter Ascending).

Sandler yang pernah mengecapi zaman kegemilangannya pada pertengahan tahun 90-an itu turut dicalonkan dalam kategori Gandingan Layar Terburuk bagi gandingannya bersama mana-mana kasut yang terlibat dalam filem The Cobbler.

Bagi kategori Pelakon Wanita Terburuk pula, lima calon yang disenaraikan boleh dikatakan ‘hebat’ dan bakal memberikan saingan sengit sesama mereka iaitu Katherine Heigl menerusi filem Home Sweet Hell, Dakota Johnson (Fifty Shades of Grey), Mila Kunis (Jupiter Ascending), Jennifer Lopez (The Boy Next Door) dan Gwyneth Paltrow (Mortdecai).

Lebih menarik dalam senarai pencalonan kali ini apabila dua pemenang Oscar tahun lalu, Eddie Redmayne dan Julianne Moore dilihat tidak bernasib baik kali ini apabila masing-masing dicalonkan bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terburuk untuk filem Jupiter Ascending dan Seventh Son.

Kali ini, Anugerah Razzie turut memperkenalkan anugerah khas iaitu Anugerah Razzie Redeemer yang diwujudkan bagi mengiktiraf karyawan yang selama ini mengalami perjalanan karier yang suram dan kemudiannya menebut kembali menerusi lakonan atau filem yang mengangkat semula nama mereka.

Empat calon itu ialah Elizabeth Banks, M. Night Shyamalan, Will Smith dan Sylvester Stallone yang telah memberikan hasil kerja yang memberangsangkan menerusi filem lakonan dan arahan mereka sepanjang tahun lalu.

Movie-m-6
Nasib Adam Sandler sungguh malang apabila dia dicalonkan sekali lagi untuk Pelakon Lelaki Terburuk dan tahun ini merupakan kali ke-14 dia dicalonkan dalam kategori itu.

SENARAI PENCALONAN AKHIR ANUGERAH RAZZIE KE-36

FILEM TERBURUK

  • Fantastic Four
  • Fifty Shades of Grey
  • Jupiter Ascending
  • Paul Blart: Mall Cop 2
  • Pixels

PELAKON LELAKI TERBURUK

  • Johnny Depp – Mortdecai
  • Jamie Dornan – Fifty Shades of Grey
  • Kevin James – Paul Blart: Mall Cop 2
  • Adam Sandler – The Cobbler & Pixels
  • Channing Tatum – Jupiter Ascending

PELAKON WANITA TERBURUK

  • Katherine Heigl – Home Sweet Hell
  • Dakota Johnson – Fifty Shades of Grey
  • Mila Kunis – Jupiter Ascending
  • Jennifer Lopez – The Boy Next Door
  • Gwyneth Paltrow – Mortdecai
Movie-m-8
Lakonan Jennifer Lopez dalam filem The Boy Next Door memang layak dicalonkan untuk Pelakon Wanita Terburuk.

PELAKON PEMBANTU LELAKI TERBURUK

  • Chevy Chase – Hot Tub Time Machine 2 & Vacation
  • Josh Gad – Pixels & The Wedding Ringer
  • Kevin James – Pixels
  • Jason Lee – Alvin & The Chipmunks: Road Chip
  • Eddie Redmayne – Jupiter Ascending

PELAKON PEMBANTU WANITA TERBURUK

  • Kaley Cuoco-Sweeting – Alvin & The Chipmunks: Road Chip & The Wedding Ringer
  • Rooney Mara – Pan
  • Michelle Monaghan – Pixels
  • Julianne Moore – Seventh Son
  • Amanda Seyfried – Love The Coopers & Pan

FILEM SEKUEL, REMAKE ATAU RIP-OFF TERBURUK

  • Alvin & The Chipmunks: Road Chip
  • Fantastic Four
  • Hot Tub Time Machine 2
  • Human Centipede 3 (Final Sequence)
  • Paul Blart: Mall Cop 2
Movie-m-10
Filem lakonan Johnny Depp dan Gwyneth Paltrow berjudul Mortdecai juga disenaraikan sebagai salah sebuah filem yang terburuk apabila kedua-duanya dicalonkan untuk Pelakon Lelaki dan Wanita Terburuk tahun ini.

GANDINGAN LAYAR TERBURUK

  • Empat pelakon utama filem Fantastic Four – Fantastic Four
  • Johnny Depp bersama misai palsunya – Mortdecai
  • Jamie Dornan dan Dakota Johnson – Fifty Shades of Grey
  • Kevin James bersama setiap kesinambungannya atau misai palsunya – Paul Blart: Mall Cop 2
  • Adam Sandler bersama mana-mana kasut – The Cobbler

PENGARAH TERBURUK

  • Andy Fickman – Paul Blart: Mall Cop 2
  • Tom Six – Human Centipede 3 (Final Sequence)
  • Sam Taylor-Johnson – Fifty Shades of Grey
  • Josh Trank – Fantastic Four
  • Andy & Lana Wachowski – Jupiter Ascending

LAKON LAYAR TERBURUK

  • Fantastic Four
  • Fifty Shades of Grey
  • Jupiter Ascending
  • Paul Blart: Mall Cop 2
  • Pixels

ANUGERAH RAZZIE REDEEMER

  • Elizabeth Bank
  • M. Night Shyamalan
  • Will Smith
  • Sylvester Stallone