KUALA LUMPUR, 14 Januari:

Aktres terkenal, Nur Fazura Sharifuddin atau lebih dikenali sebagai Fazura membuat pengakuan bahawa dia sudah bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni apabila membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujangnya kelak.

Bukan itu sahaja, kata pelakon filem Manisnya Cinta Di Cappadoccia itu juga, pada saat dia sudah bergelar seorang isteri, dia juga telah menanam niat dan azam untuk terus berhijab.

Jelas anak kelahiran Pekan, Pahang itu lagi, ketika itu jugalah, dia akan memberikan fokus sepenuhnya kepada fasa baharu dalam kehidupannya tanpa menoleh ke belakang lagi.

“Disebabkan itu, pada usia saya ketika ini dan situasi sekarang, saya mahu bekerja keras dan menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya saya sebelum masa untuk saya bersara tiba nanti.

“Selagi saya mampu untuk terus bekerja dan berlakon selain menumpukan perhatian kepada perniagaan, saya akan buat sehabis baik kerana memang niat saya untuk meninggalkan dunia seni apabila sudah berkahwin nanti.

“Pada ketika itu, saya mahu memberi perhatian kepada suami dan membina keluarga sendiri serta terus memperbaiki diri dalam membentuk diri menjadi seorang wanita, isteri dan juga ibu yang terbaik untuk bakal anak-anak saya kelak,” ujar Fazura dengan penuh terbuka ketika ditanya tentang kehidupan peribadi serta perancangan masa depannya.

Aktres, penyanyi dan ahli perniagaan berusia 32 tahun itu berkata demikian usah pelancaran album baharu kumpulan Estranged, Sepenuhnya Vol.1 yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Dalam pertemuan itu, pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 tahun lalu itu yang juga pernah membintangi drama bersiri Kisah Cinta dan Datin Diaries di TV3 itu sempat diusik tentang siapakah kekasih baharunya ketika ini.

M
Fazura menegaskan dia mahu terus bekerja keras selagi terdaya sebelum membuat keputusan untuk berkahwin apabila sudah tiba masanya nanti. – Foto www.wanista.com

Sambil ketawa kecil, pelakon filem Kami Histeria dan Pisau Cukur itu menjelaskan buat masa ini, dia tidak mempunyai teman lelaki dan lebih selesa untuk fokus kepada kerjayanya yang disifatkan semakin berkembang baik.

Sempat berkongsi projek sepanjang tahun 2016, pemeran watak Putri Farhana dalam filem dan drama bersiri Gol & Gincu itu memberitahu dia bakal terlibat dengan dua projek filem di Indonesia selain dalam perbincangan bersama Astro Shaw untuk filem baharu.

Namun, kata Fazura, dia tidak boleh mendedahkan sebarang butiran lanjut memandangkan semuanya masih lagi di peringkat awal dan seandainya berjalan lancar, dia hanya dapat berkongsi dengan peminat dan pihak media apabila sudah menandatangani kontrak kelak.

“Selain filem, saya juga akan muncul dengan produk kecantikan baharu hasil kerjasama syarikat saya, House of Doll bersama sebuah syarikat dari Filipina selain mengeluarkan beberapa lagi produk selepas kejayaan Mystical By Fazura yang mendapat sambutan luar biasa.

“Dalam masa yang sama, saya juga akan muncul dengan single baharu, Bangun selain perancangan untuk menghasilkan sebuah album mini yang berkemungkinan besar memuatkan tujuh buah lagu.

“Sementelah angka tujuh itu adalah nombor bertuah saya, diharapkan kerjaya nyanyian saya juga akan berkembang positif dengan adanya bantuan serta sokongan daripada kugiran saya, The Wak Lu’s yang akan menyumbangkan lagu dalam album itu kelak,” kata Fazura yang pernah muncul dengan lagu Sayangi Dirimu tahun lalu.

Malah, dia juga meraih perhatian peminat hiburan apabila berduet dengan penyanyi dan pelakon kacak Indonesia, Rhido Rhoma untuk lagu tema filem Bulan Terbelah Di Langit Amerika yang turut dibintangi Fazura.

Ketika ini, Fazura juga mula popular menerusi lagu Hancur Aku yang dinyanyikan secara duet bersama kumpulan Estranged yang turut dimuatkan dalam album baharu kumpulan itu.