KUALA LUMPUR, 5 Januari:

Tahun 2016 baru memasuki hari kelima dan sehingga ke saat ini, banyak perkhabaran terbaru yang sudah tersebar mengenai industri perfileman di Hollywood.

Bahkan, sejak tiga bulan kebelakangan ini, peminat dan pemerhati dunia hiburan di sana sudah mula memperkatakan tentang senarai filem yang bakal ditayangkan sepanjang tahun ini.

Senarai yang sudah pun dikeluarkan oleh majoriti studio perfileman besar di sana itu telah membuatkan ramai yang tidak senang duduk untuk menantikan barisan filem yang akan menjengah pawagam.

Sudah pasti, kebanyakan filem yang dinanti-nantikan oleh seluruh peminat filem secara amnya adalah naskhah adaptasi komik yang merupakan potensi untuk mencatatkan kutipan pecah panggung kelak.

Jika dilihat kepada senarai tersebut seperti mana yang dikeluarkan oleh The Hollywood Reporter beberapa jam lalu, majoritinya adalah filem blokbuster yang memang sudah diramal akan menjadi sebutan dan berkemungkinan besar mencipta fenomena luar biasa.

Mungkin terlalu awal untuk meramal tetapi apa yang dapat dilihat, semuanya tidak mustahil untuk berlaku apatah lagi untuk filem yang diadaptasi daripada komik terbitan Marvel selain DC Comics.

Tidak kurang juga ada filem prekuel dan sekuel yang bakal menanti pecinta filem lalu membuatkan keterujaan itu berganda apatah lagi ada di antaranya yang diterbitkan selepas filem pertama ditayangkan lebih sedekad lalu.

Ruangan ini terlalu terhad untuk menyenaraikan sebahagian besar filem yang dinanti-nantikan oleh peminat sepanjang tahun ini tetapi The Rakyat Post hanya memilih 13 yang terbaik dan berpotensi besar akan mendapat sambutan hangat kelak.

m16-06-(M)
BATMAN v SUPERMAN: DAWN OF JUSTICE

Memang tidak syak lagi, filem adiwira yang menampilkan Batman dan Superman arahan Zack Snyder ini antara yang ditunggu-tunggu untuk tahun 2016. Sejak mula dicanangkan akan penerbitannya hampir tiga tahun lalu, keterujaan peminat tidak pernah luntur.

Sebaliknya, semua sabar menanti untuk tayangan filem ini yang dijangka akan mula ditayangkan sekitar bulan Mac ini. Apatah lagi, Dawn of Justice juga akan menyaksikan kebangkitan Justice League yang menggabungkan adiwira ternama ciptaan DC Comics yang seterusnya akan lahir dalam sebuah filem khas kelak.

Pastinya, selain daripada Batman dan Superman, Dawn of Justice akan menampilkan Wonder Woman, Aquaman, Cyborg dan The Flash yang bakal menggegarkan pawagam kelak.

junglebook_M
THE JUNGLE BOOK

Selepas lebih empat dekad kejayaan filem animasinya yang kini menjadi salah sebuah filem klasik, The Jungle Book kembali dihidupkan ke layar perak apabila mendapat sentuhan pengarah filem Iron Man, Jon Favreau.

Jika mereka yang sudah pun menonton trailer filem terbitan Walt Disney Pictures ini, pastinya bersetuju ia antara filem yang bakal mendapat perhatian apabila ditayangkan pada bulan April ini.

Menampilkan pelakon cilik, Neel Sethi sebagai teraju utama bernama Mowgli, menariknya filem ini juga apabila menggunakan suara barisan pelakon terkenal yang di antaranya adalah bekas pemenang Oscar.

Mereka yang dimaksudkan ialah Ben Kingsley, Lupita Nyong’o, Christopher Walken serta Scarlett Johansson, Idris Elba dan Bill Murray. Bukan itu sahaja, kesan khas yang digunakan untuk hampir keseluruhan filem ini sudah mula diperkatakan ramai kerana keberkesannya menghidupkan jalan cerita The Jungle Book.

m16-04-(M)
CAPTAIN AMERICA: CIVIL WAR

Filem ketiga dalam francais Captain America dan yang ke-13 dalam siri Marvel Cinematic Universe ini juga tidak kurang menariknya kerana akan menampilkan beberapa watak ciptaan Marvel Comics untuk pertama kalinya.

Secara ringkasnya, plot cerita ini akan mengambil kisah selepas apa yang berlaku dalam filem Avengers: Age of Ultron dengan terjadinya insiden yang memerlukan bantuan The Avengers.

Namun, disebabkan percanggahan ideologi antara Captain America dan Iron Man, maka, timbulkan dua puak yang menyaksikan pertembungan antara mereka sekaligus memberikan tekanan dan ketegangan juga kepada ahli Avengers yang lain iaitu Black Widow, Hawkeye, Scarlet Witch, Winter Soldier dan Falcon.

Antara watak baharu yang ditampilkan dan bergabung tenaga dalam filem ini termasuklah Ant-Man, Black Panther serta kemunculan sulung, Spider-Man dengan menampilkan aktor baharu, Tom Holland menggalas tugas tersebut.

m16-07-(M)
X-MEN: APOCALYPSE

Pengarahnya, Bryan Singer telah mengumumkan filem keenam daripada francais filem X-Men ini merupakan arahannya yang terakhir selain merumuskan ia juga adalah bab terakhir dalam siri berkenaan.

Namun, kata Singer lagi, itu tidak bermakna kisah X-Men akan berakhir di situ kerana X-Men: Apocalypse juga akan menyaksikan kebangkitan mutan generasi baharu yang akan meneruskan legasi X-Men.

Selain daripada watak-watak yang sudah dipaparkan dalam filem X-Men sebelum ini, Apocalypse juga menyaksikan kemunculan watak yang jarang diketengahkan seperti Psylocke, Havok, Angel dan Jubilee. Adakah Apocalypse akan mencatatkan kutipan luar biasa apabila akan ditayangkan pada bulan Mei nanti? Sama-sama kita nantikan kelak.

dory_M
FINDING DORY

Selepas lebih sedekad filem Finding Nemo ditayangkan, akhirnya sekuel yang sudah lama dicanangkan bakal ditayangkan pada bulan Jun ini dengan kisah yang lebih mencuit hati dengan keletah Dory yang memiliki masalah hilang ingatan jangka pendek.

Masih lagi mengekalkan pengacara dan artis komedi wanita ternama, Ellen DeGeneres yang menyumbangkan suaranya untuk watak Dory di samping watak terdahulu iaitu Nemo dan Marlin yang pernah melalui pengembaraan penuh mencabar dalam filem Finding Nemo.

Kali ini, kisahnya lebih kepada Dory yang cuba hendak mencari kedua ibu bapanya selepas mengetahui dirinya adalah hasil ternakan oleh sebuah institut marin di California, Amerika Syarikat.

id4_M
INDEPENDENCE DAY: RESURGENCE

Hanya selepas dua dekad, filem sekuel kepada Independence Day yang pernah mencatatkan kejayaan luar biasa pada tahun 1996 ini akan muncul di pawagam sekitar bulan Jun nanti.

Namun, untuk pengetahuan semua, teraju utama asalnya, Will Smith tidak akan membintangi filem ini sebaliknya ia akan fokus kepada kisah anaknya dalam filem terdahulu yang meneruskan pekerjaan bapanya sebagai seorang pejuang jet askar Amerika Syarikat (AS).

Hanya Jeff Goldblum, Vivica A. Fox dan Bill Pullman sahaja yang kembali membawakan watak masing-masing dengan di samping Liam Hemsworth dan Sela Ward yang memegang watak Presiden AS wanita pertama.

Disangkakan selepas apa yang berlaku sebelum ini sudah dikuburkan tetapi nampaknya makhluk asing kembali untuk menawan bumi bagi membalas dendam dengan sebuah rahsia baharu yang terungkai.

m16-05-(M)
THE BFG

Mungkin filem ini bukanlah bukanlah dikategorikan sebagai filem blokbuster tetapi apabila nama pengarah ternama dunia, Steven Spielberg terlibat dalam projek filem yang dikatakan sudah dimulakan sejak 1991 ini, maka, ia dilihat sebagai sesuatu yang besar.

Merupakan sebuah filem yang diadaptasi daripada novel karya Roald Dahl, The BFG adalah kisah klasik yang mengenengahkan watak protagonis, Sophie (dilakonkan oleh Ruby Barnhill) yang dipertemukan dengan seorang gergasi, The Big Friendly Giant (Mark Rylance).

Mereka berdua bersama Ratu England yang akan dilakonkan oleh Penelope Wilton bakal melalui satu pengembaraan yang mencabar untuk menangkap seorang gergasi jahat yang telah memporak-perandakan dunia manusia. Bakal ditayangkan pada bulan Julai ini, The BFG pastinya akan menjadi sebuah filem untuk hiburan seisi keluarga kelak.

ghostbuster_M
GHOSTBUSTERS

Perancangan untuk menghasilkan filem sekuel ketiga Ghosbusters juga sebenarnya sudah lama dikhabarkan. Akan tetapi, ia tidak pernah berhasil meskipun pada awalnya, skripnya sudah lama dihasilkan oleh salah seorang pelakon asalnya, Dan Aykroyd.

Namun, ia berkubur begitu sahaja dan ditambah pula salah seorang pelakonnya, Harold Ramis meninggal dunia menyebabkan Ghostbusters tidak dapat dihasilkan. Tetapi, pengarah filem yang baharu ini, Paul Feig mendapat idea baharu dan telah memberikan nafas serta revolusi baharu kepada Ghostbusters dengan menampilkan barisan pelakon wanita sebagai teraju utama.

Masih mengekalkan genre komedi, Ghostbusters versi baharu ini ditunjangi dua bekas calon Oscar yang cukup sinonim dengan dunia komedi, Kristen Wiig dan Melissa McCarthy selain dua lagi aktres, Leslie Jones dan Kate McKinnon yang melengkapkan lagi anggota kumpulan Ghostbusters.

Lebih menarik, filem ini juga menampilkan kemunculan istimewa bekas pelakon asal Ghostbusters seperti Aykroyd, Bill Murray, Ernie Hudson, Sigourney Weaver dan Annie Potts. Tarikh tayangannya adalah pada 15 Julai.

bourne_M
UNTITLED NEXT BOURNE CHAPTER

Tidak dapat dinafikan lagi, watak Jason Bourne sudah menjadi milik mutlak Matt Damon. Walaupun pernah dibawakan oleh Jeremy Renner sebelum ini, peminat masih lagi mahukan dan percayakan Damon dalam membawakan watak berkenaan yang juga telah mempopularkan namanya di seluruh dunia.

Dalam filem kelima dalam francais Bourne itu yang masih belum berjudul itu, Bourne perlu menyelesaikan satu misi yang lebih mencabar dalam usaha untuk mendapatkan kembali identitinya.

Diarahkan oleh Paul Greengrass yang pernah mengarahkan filem kedua dan ketiga Bourne sebelum ini, filem kelima itu juga menyaksikan kembalinya semula Julia Stiles di samping watak baharu yang bakal dimainkan oleh Alicia Vikander, Vincent Cassel dan bekas pemenang Oscar, Tommy Lee Jones. Tarikh tayangannya dijangka pada penghujung bulan Julai ini.

suicidesquad_M
SUICIDE SQUAD

Jika selama ini, penonton dan pecinta filem adaptasi komik sudah dihidangkan dengan kisah sekumpulan superhero iaitu The Avengers, kali ini Warner Bros. Pictures dengan kerjasama DC Comics akan menampilkan pula filem Suicide Squad walaupun bukan dari penerbit yang sama.

Bukan superhero tetapi ia adalah kisah tentang sekumpulan supervillains (karakter jahat dan kejam) yang disatukan membentuk Suicide Squad yang dipimpin oleh penasihatnya, Amanda Waller lakonan bekas calon Oscar, Viola Davis.

Sesuatu yang menarik dan teruja menunggu kemunculan filem ini di pawagam apabila karakter antagonis seperti Deadshot, Joker, Harley Quinn, Boomerang, Enchantress, Killer Croc, Katana dan Slipknot bersatu dalam melunaskan satu misi untuk membebaskan mereka daripada tahanan.

Paling ditunggu-tunggu adalah watak Joker yang dilakonkan oleh bekas pemenang Oscar, Jared Leto yang disifatkan membawa dimensi baharu watak antagonis terkenal itu. Nantikan tayangannya pada bulan Ogos nanti.

m16-02-(M)
DOCTOR STRANGE

Selepas sekian lama menanti, akhirnya peminat dapat juga menyaksikan kemunculan salah satu watak komik ciptaan Marvel ini ke layar perak. Apatah lagi ia dibawakan oleh bekas calon Oscar, Benedict Cumberbatch yang pastinya akan memberikan satu sisi berbeza untuk aktor yang cukup dikenali dengan watak Sherlock itu.

Filem yang diarahkan oleh Scott Derrickson ini turut menampilkan bekas calon Oscar, Chiwetel Ejiofor sebagai Karl Mondo, Rachel McAdams, Michael Stuhlbarg, Mads Mikkelsen dan bekas pemenang Oscar, Tilda Swinton.

Mampukah Doctor Strange dapat memberikan kuasa magisnya untuk menjadikan ia sebagai salah sebuah filem terlaris untuk tahun ini? Sama-sama kita nantikan tayangannya pada bulan November ini.

m16-01-(M)
FANTASTIC BEASTS AND WHERE TO FIND THEM

Walaupun filem ini merupakan adaptasi daripada buku tulisan penulis siri Harry Potter, J.K. Rowling, tetapi jangan pula ada yang menyangka ia masih lebih berkisar tentang kehidupan dunia lelaki yang pernah mencetuskan fenomena itu.

Sebaliknya ia adalah kisah baharu namun mengambil konteks dan milieu yang sama iaitu tentang magis, ahli sihir dan seangkatannya yakni sekitar 70 tahun sebelum kelahiran Harry Potter.

Ditunjangi oleh pemenang Oscar, Eddie Redmayne sebagai Newt Scamander, filem ini juga menyaksikan Rowling bertindak sebagai penulis lakon layar dan salah seorang penerbitnya. Bakal ditayangkan pada bulan November ini, ia juga akan dihasilkan dalam bentuk trilogi.

rogueone_M
ROGUE ONE: A STAR WARS STORY

Nampaknya demam Star Wars tidak akan kebah setiap tahun kerana bermula dari tahun lepas sehingga lima tahun akan datang, setiap tahun filem Star Wars akan ditayangkan.

Untuk tahun ini, filem Rogue One: A Star Wars Story akan menemui penonton pada penghujung tahun tetapi premisnya tiada kaitan dengan mana-mana filem Star Wars. Malah milieu filem ini akan juga mengambil tempat sebelum insiden yang berlaku dalam filem Star Wars Episode IV: A New Hope.

Menariknya, ia akan menyaksikan peranan wanita diangkat sebagai seorang wira dalam Rogue One yang dijayakan oleh bekas calon Oscar, Felicity Jones di samping bekas pemenang Oscar, Forest Whitaker, Diego Luna, Riz Ahmed, Mads Mikkelsen dan pelakon terkenal Asia, Donnie Yen.

Bukan itu sahaja, Rogue One juga akan menjadi filem pertama dalam tiga filem antologi Star Wars yang akan diterbitkan kelak masing-masing pada tahun 2018 dan 2020.