KUALA LUMPUR, 28 Disember:

Hampir sedekad melayari lautan seni yang sering bergelora tidak pernah mematahkan semangat anak muda ini yang baru menginjak usia 27 tahun pada 14 Disember lalu.

Bahkan, Gadaffi Ismail Sabri atau lebih dikenali seantero dunia hiburan sebagai Dafi tidak pernah mengambil pusing akan kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya.

Sebaliknya, jejaka yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim kelima pada tahun 2007 ini, dia lebih suka untuk bersikap positif dan sentiasa mencari peluang serta ruang untuk memperbaiki dirinya dalam memantapkan dirinya sebagai seorang anak seni.

“Saya sedar di mana kedudukan saya di dalam industri seni tetapi itu bukan bermakna saya menyesal dengan keputusan yang saya lakukan ini. Tiada langsung istilah itu dalam kamus hidup saya.

“Adalah lebih baik untuk saya menjadi begini untuk terus bertahan dengan populariti yang ada berbanding jika saya berada di puncak tertinggi dan kemudiannya tersungkur ke bawah dengan kadar yang pantas.

“Sebagai seorang anak seni, saya tidak pernah melihat peranan saya dalam satu skop pekerjaan sahaja tetapi sebenarnya banyak lagi cabang dalam industri ini yang mampu saya terokai,” katanya dalam nada bersungguh sewaktu dihubungi The Rakyat Post, di sini hari ini.

Disebabkan itu kata bekas calon Artis Harapan Anugerah Industri Muzik ke-15 (2008) ini lagi, dia sentiasa mahu memperbaiki dirinya untuk menjadi lebih baik dalam segala aspek.

Ujar anak kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini lagi, kritikan yang diterimanya selama menjadi anak seni bukanlah sesuatu yang dipandang negatif.

dafi-m-1
Belum pun tahun 2016 membuka tirainya, Dafi sudah pun mula mengatur agenda seninya. – Foto TRP/Mokhsin Zamani

Tetapi, kata Dafi yang cukup popular dengan lagu Bila Terasa Rindu ini, semua yang dimilikinya hari ini adalah berkat daripada pengalaman dan usahanya sendiri selama hampir 10 tahun bergelar artis.

Tidak terhad untuk hanya mencari rezeki sebagai penyanyi sahaja, Dafi juga mahu meneruskan kariernya sebagai seorang pelakon terutama di pentas teater selepas kejayaannya membintangi teater Mak Cun dan Madunya Kalut sepanjang tahun ini.

Dan siapa sangka, dari pentas teater, Dafi bakal berlakon pula dalam drama bersiri Mak Cun untuk musim kedua yang akan menjalani penggambaran tidak berapa lama lagi.

“Saya juga mengharapkan sinar tahun baru 2016 apabila album baharu saya akan dipasarkan sekitar pertengahan tahun hadapan yang diterbitkan sepenuhnya oleh Ahmad Dhani.

“Bakal memuatkan 10 buah lagu, mutakhir ini saya kerap ulang-alik ke Jakarta, Indonesia untuk melunaskan rakaman lagu yang masih berbaki. Menariknya, album ini dibiyai sepenuhnya oleh seorang pelabur di sana,” kata anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini yang pernah merakamkan dua buah album, Seumur Hidup (2009) dan D4F1 (2014) ini lagi.

Dalam masa yang sama, Dafi yang juga pernah popular menerusi lagu duet bersama Gita Gutawa, Dua Hati Menjadi Satu ini juga mengharapkan para peminat dan penyokongnya dapat memberikan sokongan terhadap lagu baharunya, Sempurna yang sudah mula diputarkan di stesen radio tempatan.

Dicipta oleh komposer muda, Akid manakala liriknya pula nukilan wartawan hiburan terkenal, Rudy Imran Shamsudin atau lebih dikenali dengan nama pena, Iman Imran, Dafi ternyata senang bekerjasama dengan dua individu itu yang telah memberi satu perspektif baharu terhadap dunia muzik secara keseluruhannya.