KUALA LUMPUR, 28 Disember:

Penyanyi dan pelakon, Gadaffi Ismail Sabri atau lebih popular dengan nama pentas, Dafi, 27, hanya mampu ketawa kecil saat diajukan pertanyaan berhubung dengan kos penganjuran Konsert 5 Divo yang dikatakan menelan belanja hingga jutaan ringgit.

Sebagai penganjur dan penerbit konsert berkenaan, Dafi memberitahu perkara itu tidak benar sama sekali tetapi dalam masa yang sama, dia tidak akan berkompromi soal kualiti kerana barisan artis yang ditampilkan bukan calang-calang.

“Dalam memberikan sesuatu yang berkualiti kepada masyarakat dan peminat, sudah pasti saya mahu menampilkan persembahan yang dapat diingati oleh mereka untuk jangka masa yang lama.

“Soal kos dan bajet itu memang tidak dapat dipisahkan dan selaku penganjur, ia juga sesuatu yang tidak dapat dielakkan daripada diajukan. Apa yang boleh saya katakan di sini ialah kami akan memastikan Konsert 5 Divo akan memberikan kepuasan maksimum kepada penonton kelak.

“Kekuatan bukan hanya terletak kepada barisan lima penyanyi lelaki dan muzik yang ditampilkan tetapi ia juga merangkumi aspek teknikal termasuk bunyian, tata cahaya dan rekaan set pentas sebagai pelengkap kepada perjalanan konsert itu kelak,” ujar pelantun lagu Bila Terasa Rindu ini ketika dihubungi The Rakyat Post, di sini hari ini.

Persoalan tentang kos itu dibangkitkan kerana apabila melihatkan lima penyanyi yang terlibat iaitu Afgan, Hafiz Suip, Taufik Batisah, Hazama dan Judika, secara zahiriah ia sudah cukup untuk menggambarkan nilai dan harga konsert berkenaan.

Ditambah pula, pengarah muzik yang dipilih juga bukan calang-calang iaitu maestro dan penerbit terkenal, Datuk Ramli MS yang memimpin pemain muzik orkestra sekaligus sudah memberi satu gambaran pertama bahawa Konsert 5 Divo yang akan dipentaskan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 13 Februari depan sememangnya Gred A!.

Menyambung bicaranya, Dafi yang merupakan bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima itu menjelaskan biarpun amat menitik beratkan soal kualiti tetapi dia juga harus sedar bahawa dia tidak boleh lokek soal bayaran seandainya dia mahu yang terbaik untuk Konsert 5 Divo.

5divo-m-1
Dafi (dua dari kiri) bersama Ramli MS (kiri) dan Hafiz Suip pada sidang akhbar Konsert 5 Divo yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini. Turut hadir pengurus dan rakan kongsi Dafi, Afeeq Wahab (kanan). – Foto TRP/Mokhsin Zamani

“Apatah lagi ia adalah konsert sulung terbitan syarikat saya, Laugh Out Loud Entertainment bersama pengurus dan rakan kongsi saya, Afeeq Wahab, semestinya saya mahu yang terbaik.

“Kos yang dikeluarkan oleh kami tentunya setimpal dengan apa yang bakal dipersembahkan kerana kami menjanjikan sebuah persembahan yang berbeza daripada apa yang pernah dipersembahkan sebelum ini,” ujar bekas calon Artis Harapan Anugerah Industri Muzik Ke-15 (2008) ini penuh optimis.

Ketika ditanya mengapa lima penyanyi lelaki itu menjadi pilihan, kata Dafi, populariti, bakat dan mutu vokal yang dimiliki oleh mereka membuatkan dirinya terpanggil untuk menyatukan mereka atas satu pentas.

Kata Dafi lagi, jika sebelum ini, khalayak sudah terbiasa dengan gandingan penyanyi wanita, mengapa tidak kali ini, dia mahu menampilkan sesuatu yang berbeza dengan konsep yang pada hemat Dafi, akan memberikan impak tersendiri kelak.

“Meskipun saya sebagai penganjur dan penerbit, saya tidak menggunakan kuasa veto sebaliknya saya sangat terbuka kepada pandangan serta idea untuk menjadikan konsert ini direalisasikan sebaiknya.

“Kami akan duduk berbincang dan mengutarakan sebarang idea agar semua pihak yang terlibat termasuk saya, penyanyi dan Ramli MS dapat mencari satu titik noktah untuk memastikan konsert berjalan lancar seperti dirancang,” katanya yang menjangkakan kunjungan penonton dalam lingkungan 8,000 hingga 10,000 orang pada malam itu kelak.

Bagi mereka yang mahu menonton Konsert 5 Divo ini, tiket-tiket berharga dari RM128 hingga RM1,188 sudah mula dijual menerusi laman sesawang www.ticketpro.com.my mulai hari ini.

Pembelian tiket juga boleh dilakukan di semua rangkaian toko muzik Rock Corner di sekitar Lembah Klang.