KUALA LUMPUR, 28 Disember:

Filem: Star Wars Episode VII: The Force Awakens

Pengarah: J.J. Abrams

Pelakon: Daisy Ridley, John Boyega, Oscar Isaac, Harrison Ford, Carrie Fisher, Mark Hamill, Lupita Nyong’o dan Peter Mayhew

Genre: Sains Fiksyen/Aksi/Drama

Tarikh tayangan: 18 Disember 2015

ULASAN:

Tanpa ragu, filem Star Wars Episode VII: Force Awakens atau lebih mudah disebut sebagai The Force Awakens sahaja merupakan filem yang paling ditunggu-tunggu tahun ini.

Bukannya tidak ada filem blockbuster lain yang terlebih dahulu mendapat tempat di hati peminat filem, tetapi kuasa dan magis Star Wars sangat berbeza berbanding filem atau francais filem yang telah pun ditayangkan tahun ini.

Jujurnya, saya bukanlah penggemar tegar tetapi saya mengikuti enam filem cereka utama dalam francais filem Star Wars yang diarahkan oleh sutradara tersohor, George Lucas sebelum ini.

Sudah pasti kalau ditanya kepada saya, filem manakah yang menjadi kegemaran saya dalam francais yang mula diperkenalkan sejak lebih tiga dekad lalu ini, pastinya Episode IV: New Hope masih berada di tangga teratas.

Nilai estetika dan kualiti filem berkenaan saya sifatkan unggul dan keasliannya terserlah selain menampakkan kesungguhan Lucas sebagai pengarah dalam mencipta satu dunia yang tidak pernah dibayangkan dapat dijelmakan ke layar perak.

StarWars-m4
Keserasian antara Daisy Ridley sebagai Rey, John Boyega (Finn) dan robot kecil, BB-8 cukup menyakinkan dan mencuri sebahagian besar masa filem The Force Awakens.

Kini, selepas enam buah filem dan menjadi salah sebuah francais terlaris sepanjang zaman, Star Wars kembali dengan filem ketujuh, The Force Awakens yang cukup mengujakan peminat filem dan penggemar setia Star Wars secara umumnya.

Itupun selepas Walt Disney membeli hak cipta Lucasfilm dengan harga yang cukup lumayan, AS$4.06 billion (RM17.5 billion) daripada Lucas pada tahun 2012 dan seterusnya mengumumkan kembalinya Star Wars ke layar perak.

Kali terakhir filem Star Wars ditayangkan adalah pada tahun 2005 dengan judul Episode III: Revenge of the Sith dan selepas itu, Lucas selaku pengarah mengumumkan beliau tidak mahu lagi mengarahkan, menghasilkan dan menerbitkan filem Star Wars.

Berbalik kepada The Force Awakens, plot penceritaannya mengambil latar belakang tiga dekad selepas apa yang berlaku dalam filem Episode VI: Return of the Jedi.

Pendapat saya, bagi mereka yang tidak menonton filem sebelum ini, tidak akan berasa seperti hilang arah menonton The Force Awakens kerana ia diibarat sebuah kisah baru yang hanya mengambil kisah silam sebagai pelengkap perjalanan cerita ini.

Sebagai pengarah kreatif, saya melihat J.J. Abrams telah melaksanakan tugasnya dengan cemerlang dalam mengarahkan The Force Awakens. Barangkali dia cukup sedar, impak Star Wars bukan sembarangan.

Justeru, bagi memastikan nyawa filem itu hidup, Abrams cukup teliti dalam menghasilkan The Force Awakens sehinggakan ia dilihat seperti Lucas yang mengarahkan filem itu sendiri.

Saya sukakan misteri yang ditimbulkan oleh Abrams menerusi beberapa karakter baharu terutamanya Rey (Daisy Ridley) yang dari pandangan pertama sahaja, saya sudah dapat merasakan ada rahsia di sebalik personaliti dan kehidupan Rey.

StarWars-m1 (1)
Selaku pengarah, J.J. Abrams bijak mengimbangi antara nostalgia silam dan kuasa baharu Star Wars yang menjadikan The Force Awakens berada dalam liga tersendiri.

Pelbagai persoalan bermain di minda saya tentang Rey. Siapakah dia? Mengapa dia begitu penting dalam misi kali ini dan apakah dia akan menjawab segala persoalan tentang perjalanan kisah The Force Awakens.

Pemilihan Ridley juga saya sifatkan tepat dan saya sukakan bagaimana ada momen tertentu dalam aspek sinematografi yang merakamkan emosinya sebagai Rey yang membuatkan kita terbawa-bawa dan terkesan dengan lakonannya.

Berwajah polos namun masih kekal dengan kejelitaannya, Ridley berjaya membawakan watak Rey dengan cukup bersahaja dan relaks sekali biarpun beban itu bukanlah kecil untuk ditanggung olehnya.

Di sebalik kerapuhannya, ada kuasa besar di dalam dirinya yang akan menjelmakan dirinya sebagai pahlawan Jedi yang saya percaya akan dirungkaikan serta dikembangkan dalam dua filem susulan akan datang.

Begitu juga dengan John Boyega sebagai Finn dan keserasiannya dengan Ridley juga amat berkesan lalu tidak keterlaluan dikatakan dapat menjadikan mereka pasangan layar perak serasi alaf baharu ini.

Dalam satu aspek lain, gandingan Ridley, Boyega dan Oscar Isaac sebagai Poe Dameron serta android baharu, BB-8 cukup kuat sehingga saya melihatnya sebagai refleksi baharu kepada gandingan Star Wars yang lama.

Di sinilah terletaknya kebijaksanaan Abrams dalam mengembangkan karakter baharu ini yang saya pasti akan menjadi ikonik dalam beberapa tahun akan datang seperti mana yang dihasilkan oleh Lucas.

Apalah ertinya menonton Star Wars tanpa menggamit memori dan nostalgia tiga dekad lalu dengan munculnya kembali watak-watak yang telah mencetuskan fenomena luar biasa satu ketika dahulu.

StarWars-m3
Kemunculan Han Solo (kanan) dan sahabatnya, Chewbacca antara momen yang menggamit nostagia penonton.

Abrams juga bijak dalam mengimbangi antara karakter baharu dan lama ini agar masing-masing dapat menguasai skrin dan meninggalkan impak kepada audiens.

Untuk diri saya sendiri, secara tiba-tiba wajah saya mengukir senyuman tatkala melihat kemunculan Han Solo bersama sahabatnya, Chewbacca dan pertemuan semula Han Solo bersama kekasihnya, Princess (kini Jeneral) Leia.

Pun begitu, ada kekurangan yang saya rasakan dalam filem kali ini terutama dari aspek perasaan gerun sewaktu menonton babak yang melibatkan kuasa jahat yang pada saya, masih unggul dipertahankan dalam filem A New Hope.

Mungkin kerana zaman dan teknologi yang semakin maju serta canggih, saya tidak begitu kagum atau tiada perasaan wow dalam diri saya apabila melihat aspek penataan seni, kostum dan tata riasnya kali ini.

Sebagai seorang komposer dan maestro muzik terkenal, John Williams masih lagi ampuh dan keberkesanannya menghasilkan skor muzik The Force Awakens tetap berada dalam kelas tertinggi.

Begitu juga dengan Dan Mindel selaku pengarah fotografi yang juga tidak kurang hebatnya dalam mempamerkan sinematografi cemerlang terutama babak perang di angkasa yang memberikan satu penontonan berbeza dan membibitkan perasaan logik di minda.

Ada sesuatu yang mengejutkan dan menyedihkan dalam The Force Awakens yang telah membuatkan saya mengalir air mata tetapi saya tidak mahu mendedahkannya di sini kerana enggan memberikan kejutan buat mereka yang belum menontonnya.

Kelancaran plot dan jalan ceritanya di samping premis cerita yang baharu, segar dan seimbang antara baharu dan lama telah berjaya menjadikan The Force Awakens dalam liga tersendiri.