KUALA LUMPUR, 21 Disember:

Bekas naib juara Akademi Fantasia musim kelapan, Siti Adira Suhaimi atau lebih dikenali sebagai Adira, 24, menafikan dirinya begitu terdesak sehingga sanggup untuk menjadi isteri kedua kepada seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu, 37.

Sebaliknya, kata penyanyi yang masyhur dengan lagu Ku Ada Kamu dan Ombak Rindu itu, dia menganggap apa yang berlaku adalah sebagai satu suratan takdir yang telah tertulis di Loh Mahfuz.

Dan jelasnya lagi, sebagai seorang hamba Allah SWT, dia menerimanya dengan penuh terbuka kerana sudah tertulis bahawa dia bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang disifatkannya penuh jujur meskipun berkenalan dalam waktu yang cukup singkat.

“Saya menolak tentang soal terdesak itu tetapi ini semua aturan yang telah ditetapkanNya. Bukankah jodoh itu rahsia Allah SWT dan inilah perjalanan hidup saya untuk mengakhiri zaman bujang saya.

“Ingin juga saya terangkan di sini bahawa, saya tidak berniat untuk mendiamkan diri atau lari daripada pihak media yang mahukan penjelasan saya selepas berita ini tersebar minggu lalu.

“Tetapi percayalah, banyak hati yang perlu dijaga dan sekarang ini, barulah saya boleh menjelaskannya kepada anda (pihak media),” terang Adira dalam nada yang cukup tenang sewaktu dihubungi The Rakyat Post, di sini sebentar tadi.

Minggu lalu, industri hiburan digemparkan dengan pengakuan seorang wanita yang memuat naik status di laman Facebook dengan sekeping gambarnya bersama Adira sambil menyatakan pada mulanya mereka ibarat seperti adik-beradik tetapi kemudiannya berkongsi suami.

Terdahulu, sekitar bulan September lalu, Adira sepatutnya mendirikan rumah tangga bersama Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia, Shahrul Nasrun Kamarudin tetapi tidak kesampaian apabila kedua-dua sepakat untuk mengakhiri ikatan pertunangan mereka secara baik.

4
Mendirikan rumah tangga kurang daripada sebulan, Adira menyifatkan kehidupannya kini berjalan dengan baik dan lancar selain berazam untuk terus memperbaiki diri dalam menjadi insan yang lebih baik. – Foto TRP/Syahirah Roslan

Menjelaskan lebih lanjut tentang perihal itu, kata bekas calon Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak dua kali ini lagi, dia tidak melihat sebarang masalah tentang berita perkahwinannya itu.

Kata Adira lagi, dia bersyukur semuanya berjalan dengan baik terutama apabila mendapat sokongan dan restu daripada kedua ibu bapanya termasuk daripada madunya sendiri.

Apa yang lebih penting kata anak kelahiran Ranau, Sabah itu lagi, adalah kejujuran dan keikhlasan suaminya itu yang mahu memperisterikan dirinya biarpun Adira tahu bahawa dia perlu berkongsi kasih dan kebahagiaan dengan wanita lain.

“Kami hanya bertemu hanya dua kali dan selepas itu, apabila dia melamar saya, tanpa menunggu lama saya menyatakan persetujuan saya. Bagi saya, selepas apa yang saya lalui, saya pernah berkata seandainya ada yang mahu berkahwin dengan saya, memang saya akan bersetuju kerana tidak mahu lagi bercinta begitu lama.

“Salah satu faktor mengapa saya bersetuju adalah kerana kejujurannya dan begitu terbuka dengan kehidupannya. Dalam erti kata lain, dia tidak menipu akan statusnya sebagai suami dan bapa orang,” ujarnya yang enggan memikirkan tentang soal cercaan dan kritikan masyarakat yang barangkali melabelkannya sebagai perampas suami orang.

Sekadar mengusik dirinya yang kini sudah berubah status kepada isteri orang, sambil tertawa kecil, Adira yang kini sedang popular dengan lagu Kekasih Teragung Dunia itu mengakui selepas berkahwin dalam tempoh kurang daripada sebulan, semuanya berjalan lancar.

Malah, dia juga sedang menyesuaikan diri dengan dunia baharu itu dan berikrar akan cuba untuk memperbaiki dirinya untuk menjadi bukan sahaja sebagai muslimah tetapi juga isteri yang baik untuk suaminya.

“Saya juga mendapat keizinan suami untuk meneruskan karier saya kerana dia berkata itu adalah mata pencarian dan minat saya. Jadi, sama sekali dia tidak akan menghalang.

“Menyentuh tentang karier seni saya pula, saya masih lagi sedang mengumpul material baharu untuk album kedua selain terus mempromosikan lagu Kekasih Teragung Dunia,” katanya yang merancang untuk mengadakan kenduri secara kecil-kecilan di kampung halamannya dan juga di Kuala Lumpur seandainya mendapat keizinan daripada suaminya.