KUALA LUMPUR, 14 Disember:

Sehingga ke hari ini, semacam ada perasaan paranoia di dalam dirinya gara-gara peristiwa hitam yang pernah berlaku sebelum ini yang pastinya ramai tahu akan tentangnya.

Malah, dengan penuh terbuka, Ezad Lazim atau mesra disapa Ezad ini memberitahu ada kala terbit rasa bimbang dan takut apabila memikirkan tanggapan masyarakat terutama peminat terhadap dirinya.

“Saya tidak pernah bohong apabila mengalami perasaan itu (paranoia) kerana mungkin masyarakat masih lagi mahu mengaitkan dengan kisah silam yang sudah saya buang jauh dari kehidupan saya.

“Akan tetapi, percayalah. Saya kini sudah jauh berubah dan mahu benar-benar serius serta fokus dengan dunia nyanyian saya.

“Apatah lagi dengan impak yang terhasil daripada penyertaan dalam Gegar Vaganza musim kedua (GV2) ini, saya semakin yakin dengan langkah seni saya yang saya harapkan akan mengembalikan sinar kegemilangan yang pernah dikecapi dahulu,” luah Ezad penuh luhur sewaktu ditemu bual usai sidang media konsert akhir GV2 di Shah Alam, Selangor, tengah malam semalam.

Disebabkan itu, pemilik nama lengkap Mohd. Rohaizad Mohd. Lazim ini lagi, alasan utama dia menyertai GV2 adalah untuk membuktikan kepada peminat dan masyarakat bahawa nadi seninya masih lagi berdenyut.

Bukan itu sahaja, bapa kepada dua orang cahaya mata ini juga mahu menyahut cabaran pertandingan nyanyian popular itu bahawa dia juga sebenarnya seorang yang versatil dalam melagukan apa sahaja genre lagu.

ezad_M3
Aksi Ezad sewaktu menyampaikan lagu Nur Nilam Sari di pentas akhir Gegar Vaganza 2, semalam. – Foto TRP/Mokhsin Zamani

“Jujurnya, apabila menyertai GV2, ia juga adalah proses pembelajaran buat diri saya sendiri dan kritikan yang diberikan setiap minggu itu adalah pembakar semangat buat diri saya memperbaiki kesilapan diri sendiri.

“Sebagai seorang yang sudah senior, kritikan itu masih lagi saya perlukan dalam membina semula karier saya sebagai seorang penyanyi solo biarpun saya cukup sedar bahawa imej kumpulan Exists itu amat sukar dipadamkan.

“Namun, selepas lapan minggu berjuang di pentas GV2, impak yang terhasil bukan kecil-kecil anak. Malah saya sifatkan ia sebagai lambang kelahiran semula saya di persada seni tempatan,” kata anak jati Kedah ini dalam nada penuh rendah diri.

Berbekalkan vokal yang tersendiri dan sering menjadi pujaan ramai itu telah melayakkan penyanyi berusia 36 tahun itu menduduki tangga ketiga dalam pertandingan nyanyian terbitan Astro itu.

Dengan kemenangan itu, Ezad menerima wang tunai bernilai RM30,000 dan trofi sumbangan Astro selain pakej percutian ke Jogjakarta, Indonesia bernilai RM10,000.

Pada konsert akhir semalam, penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Mengintai Dari Tirai Kamar dan Jesnita itu telah memberikan persembahan yang tidak kurang hebatnya.

ezad_M2
Pusingan battle yang menggandingkan Ezad bersama Haiza menerusi lagu Apa Khabar telah mendapat markah tertinggi dan mendapat pujian daripada juri tetap, Datuk Ramli MS. – Foto TRP/Mokhsin Zamani

Menerusi persembahan solo, Ezad telah melagukan lagu Nur Nilam Sari dendangan asal Awie & Search sementara pada pusingan battle, bekas calon Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak dua kali itu telah bergabung tenaga bersama Haiza menerusi lagu Apa Khabar yang pernah dipopularkan oleh SonaOne dan Joe Flizzow.

Ketika ditanya perasaannya yang hanya menduduki tempat ketiga selepas ditewaskan oleh Siti Nordiana dan Farahdhiya selaku juara dan naib juara, tiada sekelumit perasaan kecewa dalam dirinya.

“Sebaliknya, saya lebih rasa gembira melihat Nana (Siti Nordiana) menjadi juara kerana dia telah menempuhi pelbagai rintangan dan cabaran dalam dunia seni. Apatah lagi kami bergerak seiring dalam lapangan seni sekitar hampir 20 tahun lalu.

“Kemenangan saya ini sahaja sudah membuatkan saya bersyukur dan berterima kasih kepada peluang yang diberikan ini,” ucap penyanyi lagu Hati Mati dan Cinta Terakhir bersama Waris ini berkali-kali.

Tidak mahu menunggu lama, Ezad memberitahu dia akan mengeluarkan single baharunya dengan kadar segera dan tidak mahu menunggu lama lagi sementelah dia kini bergerak seorang diri tanpa bantuan mana-mana syarikat rakaman.