KUALA LUMPUR, 18 November:

Bekas bintang bola sepak kelab Manchester United, David Beckham, 40, buat pertama kalinya dipilih sebagai lelaki paling seksi di dunia oleh majalah terkemuka, People, semalam.

Pemilihan itu dibuat berdasarkan reputasi dan kejayaan gemilang yang dikecapi oleh bapa kepada empat orang anak itu sepanjang dua dekad menjadi seorang bintang mega dunia.

Lebih manis apabila gelaran itu diberikan kepada Beckham bagi menyambut ulang tahun ke-30 keluaran istimewa tahunan majalah itu yang kali pertama diperkenalkan pada 4 Februari 1985.

Dalam temu bualnya bersama majalah itu untuk keluaran istimewa itu, Beckham sama sekali tidak menyangka namanya dipilih untuk gelaran itu yang sebelum ini pernah kerap diberikan kepada aktor pujaan ramai di Hollywood.

Biarpun sering dilabelkan sebagai seorang simbol seks sejak 20 tahun lalu, tetapi bagi Beckham, itu (gelaran) bukanlah sesuatu yang dikejar sejak menceburi bidang sukan dan seterusnya bidang perniagaan.

“Bagi saya, ini adalah satu penghargaan dan saya menerimanya dengan berbesar hati dan penuh terbuka sekali. Saya sendiri tidak merasakan bahawa saya layak untuk diberi gelaran seperti ini.

“Bayangkan, saya tidak pernah melihat diri saya sebagai seorang lelaki yang menawan dan seksi. Tetapi, saya akui bahawa saya gemar memakai pakaian yang sedap mata memandang terutama sut yang menjadikan saya lebih berketerampilan.

“Tetapi, bukan untuk menjadi saya seksi atau menawan kerana itu sesuatu yang sangat subjektif. Terpulang kepada penilaian masing-masing,” ujar Beckham kepada majalah itu lagi.

Sempat juga pemilik nama penuh David Robert Joseph Beckham itu berkongsi cerita bagaimana reaksi isterinya, Victoria tatkala dia menyampaikan berita tentang pemilihannya sebagai lelaki paling seksi di dunia.

Jelas Beckham yang dilahirkan pada 2 Mei 1975 itu, isterinya yang juga mogul dunia perniagaan itu hanya mengucapkan tahniah kepadanya sambil merenung tajam ke wajahnya bagaikan seperti tidak percaya gelaran itu diberikan kepadanya.

“Saya berharap dia juga melihat dan merasakan saya juga seperti itu (seksi) setiap masa.

“Bahkan, sewaktu berbicara dengan anak-anak lelaki saya tentang perihal ini, mereka juga ketawakan saya dan hampir tidak percaya sehinggakan anak sulung saya, Brooklyn berkata kalian (majalah People) tersilap memilih kerana sepatutnya dia lebih layak memegang gelaran itu,” ujar Beckham berseloroh.

Dengan gelaran lelaki paling seksi di dunia itu, Beckham kini mampu tersenyum bangga kerana dia menjadi ahli sukan dan perniagaan pertama yang diberi gelaran itu selama 30 tahun majalah People menganjurkan pemilihan itu.

Sebelum ini, gelaran itu lebih banyak diberikan kepada pelakon lelaki dan nama-nama seperti Mel Gibson, Johnny Depp, Chris Hemsworth, George Clooney, Harrison Ford, Sean Connery dan Denzel Washington pernah menerima jolokan itu.

Hanya Adam Levine sahaja satu-satunya penyanyi yang pernah diberikan gelaran itu untuk keluaran tahun 2013 sementara mendiang John F. Kennedy Jr. pula merupakan hanya lelaki dari bukan kalangan selebriti yang dipilih pada tahun 1988.