KUALA LUMPUR, 13 November:

Sehingga ke hari, kehebatan dan keunggulan drama komedi, Pengantin Popular masih lagi belum mampu digugat.

Biarpun sudah berusia lebih 20 tahun, namun, populariti drama arahan Rashid Sibir dan diterbitkan oleh syarikat produksi milik Erma Fatima dan suaminya Bade Haji Azmi ketika itu, BNE Studio Sdn. Bhd. masih lagi dikenang sehingga ke hari ini.

Dalam erti kata lain, fenomena Pengantin Popular masih dirasai biarpun drama itu juga sebenarnya merupakan gandingan terakhir dua aktres ternama, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy dan Erma selepas masing-masing melancarkan perang dingin.

Kini selepas dua dekad, baik Ogy mahupun Erma, kedua-duanya mahu mengembalikan fenomena itu apabila mereka tidak menolak untuk bergandingan dalam mana-mana medium selepas ini.

Sebagai permulaan, Ogy sudah pun mengesahkan pembabitannya dalam teater muzikal Mak Cun terbitan dan arahan Erma yang akan membuka tirai panggungnya secara rasmi malam esok (14 November) di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini.

Kemudiannya, kata Erma, jika semuanya berjalan lancar seperti mana yang dirancang, Ogy juga bakal terlibat dengan musim kedua drama bersiri Mak Cun yang berkemungkinan besar akan menjalani penggambaran seawal tahun depan.

Itu pun, jelas Erma, dia perlu menyediakan skrip terlebih dahulu untuk diberikan kepada Ogy sebagai syarat seperti mana yang ditetapkan sebelum Ogy membuatkan keputusan untuk terlibat dalam teater Mak Cun.

Ogy-&-Erma_M_4
Erma Fatima meletakkan harapan tinggi untuk melihat teater Mak Cun meraih kejayaan sekaligus dapat meneruskan kesinambungan jenama itu di masa hadapan. – Foto TRP/Syahirah Roslan

“Dari awal lagi, saya memang mahukan Ogy kerana saya memerlukan seorang aktres yang tahu bercakap loghat Pulau Pinang dan watak Chombi itu juga adalah miliknya kerana saya tidak membayangkan sesiapa yang dapat membawakan watak itu.

“Bukan hanya teater dan drama bersiri, berkemungkinan besar Mak Cun juga akan diterbitkan dalam versi filem dan saya juga masih mahukan Ogy untuk membintanginya,” kata Erma sambil memandang Ogy yang tersenyum di sisinya sewaktu ditemui The Rakyat Post, baru-baru ini.

Bagi Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad itu lagi, dia sememangnya mengagumi Ogy sejak awal dia menceburi bidang lakonan dan menganggap primadona itu sebagai salah seorang rujukannya sebagai seorang aktres.

Walaupun pernah bermasam muka dan tidak bertegur sapa dengan Ogy selama dua dekad, namun, kata Erma yang merupakan bekas pemenang Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) masing-masing sebanyak dua kali itu, dia sering menonton lakonan Ogy di televisyen seandainya berpeluang.

“Ogy sememangnya seorang pelakon yang cukup hebat. Dia tidak pernah gagal memberikan persembahan lakonan terbaik dan dia sangat cemerlang lalu berada dalam liganya tersendiri.

“Alhamdulillah. Hubungan kami semakin pulih dan saya berharap teater ini dan projek akan datang dapat meneruskan kelangsungan hayat kerjaya seni kami berdua untuk terus digandingkan,” jelas pelakon, pengarah dan penerbit berusia 47 tahun itu lagi tanpa selindung.

Sama seperti Erma, perasaan itu turut dikongsi oleh Ogy yang sudah lebih empat dekad menjadi anak seni itu apabila dapat melupakan sengketa lalu dan bergandingan semula atas nama kecintaan terhadap dunia seni.

Jelas anak kelahiran Singapura berusia 52 tahun itu lagi, dia tidak berselindung tentang hubungan dinginnya dengan Erma sehinggakan jika mereka bertemu, masing-masing hanya bersalam ringkas dan menegur secara biasa sahaja tanpa sebarang kemesraan.

Ogy-&-Erma_M_2 (1)
Ogy mahu mengembalikan kegemilangan dan keserasiannya bersama Erma Fatima menerusi teater Mak Cun dan dalam projek seterusnya selepas ini. – Foto TRP/Syahirah Roslan

Namun, jelas Ogy, sepanjang tempoh tidak bertegur sapa itu juga, dia masih mengikuti perkembangan Erma sebagai pelakon dan pengarah selain menonton hasil kerjanya.

“Saya akui penangan Pengantin Popular memang cukup hebat dan kami telah mencipta keserasian yang semulajadi menerusi drama itu sehingga ia begitu sukar untuk luput dari ingatan sebahagian besar peminat hiburan tempatan.

“Barangkali ramai tidak tahu, kehebatan drama itu selain daripada ensemble para pelakonnya, ia juga terletak kepada skrip yang sebahagian besarnya dilakukan oleh kami sendiri.

“Skrip tulisan Shafiuddin Sharif ketika itu hanyalah sebagai garis panduan buat kami dan dialog selebihnya adalah inisiatif kami sendiri demi untuk mencantikkan lagi drama tersebut,” ujar bekas pemenang Pelakon Wanita Terbaik FFM sebanyak dua kali itu sambil ketawa kecil mengimbau kenangan drama yang pernah ditayangkan di TV3 itu.

Justeru, kata aktres yang pernah membintangi filem Bintang Malam (1992) arahan Adman Salleh bersama Erma itu juga, dia berhasrat mahu mengembalikan semula keserasian dan kegemilangan yang pernah tercipta oleh mereka berdua menerusi Pengantin Popular.

Pun begitu kata Ogy, semuanya berbalik kepada skrip dan watak kerana sebagai seorang anak seni, dia enggan statik dengan watak serupa yang tidak dapat mengembangkan skop lakonannya dengan lebih luas.

Selain Erma dan Ogy, teater muzikal Mak Cun yang akan mula dipentaskan dari 14 hingga 22 November ini turut dibintangi Datuk Rahim Razali, Datin Seri Umie Aida, Nora Danish, Balqis Samundur Khan, Betty Rahmad, Ungku Ismail Aziz dan Dafi.

Dengan harga tiket yang dilihat cukup berpatutan iaitu RM36, RM76, RM86, RM106 dan RM156, memang tidak mustahil untuk teater ini mencatatkan kejayaan luar biasa kelak. Tiket-tiket sudah mula dijual sejak 26 Oktober lalu menerusi laman web, redtix.airasia.com.