KUALA LUMPUR, 11 November:

Biarpun sudah tiga hari berlalu, namun, saya belum boleh untuk melupakan konsert hebat ini dari minda saya kerana terbit rasa puas yang tidak terhingga sebaik sahaja menonton konsert yang menggabungkan tiga nama besar lagi unggul iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli Sarip.

Sukar sekali untuk saya menggambarkan Konsert Satu Suara Volume 2 dengan hanya satu perkataan kerana dari sudut pandang saya, ia merupakan sebuah persembahan yang cukup hebat, mantap, terbaik dan boleh dikategorikan sebagai Kelas A!.

Berbalik kepada persembahan pada malam tersebut, apabila memperkatakan tentang Siti Nurhaliza atau Siti yang diberi jolokan Biduanita Muda Negara itu, rasanya saya sendiri sudah hilang kata-kata untuk memberikan komen dalam setiap persembahannya.

Bukan mahu bersikap berat sebelah dan pastinya akan ramai yang mencebik dengan ulasan saya tetapi itu adalah hakikat serta realiti yang harus diterima bahawa Siti sememangnya terbaik.

Membuka persembahan dengan lagu ciptaan pasangan suami isteri, LY dan Baiduri berjudul Sendiri yang pernah dimuatkan di dalam album Adiwarna itu, saya sendiri agak teruja apabila Siti memilih lagu berkenaan.

Sementelah ia agak jarang dinyanyikan oleh beliau di pentas terbuka, ia sesuatu yang segar untuk mendengar Siti mengalunkan lagu hebat itu dan sekaligus dapat mengimbau kenangan peminat dan penonton akan lagu tersebut.

Tidak menghampakan peminat dengan memilih lagu yang boleh dikira baharu, bekas pemenang Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak 12 kali itu seterusnya menyampaikan lagu Terbaik Bagimu dari album Fragmen.

M6
Kehebatan Siti Nurhaliza sebagai salah seorang penyanyi wanita terbaik negara memang tidak dapat disangkal lagi. – Foto TRP/Azrol Ali

Kelebihan Siti yang barangkali tiada pada penyanyi wanita lain apabila dia mampu untuk menyanyikan semula lagu-lagu penyanyi lain dengan caranya sendiri sehingga berupaya menjadi seperti lagunya sendiri.

Untuk persembahan di malam konsert tersebut, Siti cukup cemerlang apabila memberikan nyawa baharu untuk lagu popular Hetty berjudul Hati Lebur Jadi Debu yang secara tidak langsung membangkitkan aura luar biasa di dalam panggung.

Saya suka dengan repertoire Siti untuk konsert tersebut apabila dia menyampaikan lagu-lagu popularnya sebelum ini yang begitu jarang disampaikannya dengan susunan muzik baharu seiring dengan usia dan status Siti ketika ini.

Dalam konteks ini, saya berterima kasih kepada Siti kerana menyanyikan lagu Kesilapanku Keegoanmu dan Bicara Manis Menghiris Kalbu terutamanya. Ternyata, penghayatannya untuk lagu berkenaan masih lagi unggul biarpun lagu berkenaan sudah berusia 14 tahun.

Malam terus hangat dan Siti seterusnya memberikan laluan kepada Hetty yang terus diberikan tepukan gemuruh sebaik sahaja dia menyampaikan lagu Hadirlah Kasih.

Lagu berkenaan yang cukup popular sekitar awal tahun 90-an itu masih lagi hebat dibawakan oleh Hetty selaku legenda seni suara di Indonesia itu dengan cara dan penyampaiannya yang sudah cukup membuktikan dia adalah penghibur sejati.

Lontaran vokal yang mantap dan jitu, aura serta kehadiran Hetty di atas pentas sememangnya telah memberikan tenaga luar biasa untuk semua audiens yang hadir pada malam itu.

M4
Paduan suara Hetty Koes Endang dan Siti Nurhaliza sememangnya mengundang tepukan gemuruh dan sorakan daripada audiens. – Foto TRP/Azrol Ali

Tidak melupakan lagu Kasih yang telah meletakkan namanya di puncak tertinggi dan menjadi santapan wajib dalam setiap persembahannya, penonton bagaikan disihir dengan magis suara Hetty sehingga mata mereka tidak berkelip mendengar nyanyiannya.

Dalam satu aspek lain, saya percaya bahawa pasti akan ada yang mahu cuba hendak membandingkan persembahan vokal antara Siti dan Hetty yang bagi saya adalah tidak adil dan wajar untuk dilakukan.

Ini adalah kerana kedua-duanya mempunyai kualiti vokal tersendiri dan ditambah pula dengan pengalaman masing-masing, sudah pasti Hetty jauh lebih berpengalaman berbanding Siti.

Justeru, apabila Siti dan Hetty berduet menerusi rangkaian medley lagu-lagu popular masing-masing, kedua-dua telah mempamerkan keserasian dan kepaduan vokal yang menyerlahkan keistimewaa masing-masing.

Lagu-lagu seperti Bukan Cinta Biasa, Pastikan, Pedihnya Rasa dan Rindu telah berjaya menggamatkan Panggung Sari dan memberikan satu interpretasi baharu dalam penyampaian Siti dan Hetty.

Sebelum memperkenalkan Ramli ke pentas, Siti kemudiannya menampaikan lagu Kamelia dalam caranya sendiri dan sempat juga dia menggantikan nama Kamelia di dalam bait lirik lagu itu kepada nama suaminya yang mengundang hilai tawa dan tepukan gemuruh daripada audiens.

Sebaik sahaja Ramli muncul ke pentas, masing-masing sempat berkongsi pengalaman dalam dunia seni sebelum kedua-duanya menyampaikan lagu medley Dialah Di Hati dan Teratai.

M5
Lagu duet Doa Buat Kekasih antara Ramli Sarip dan Siti Nurhaliza telah membangkitkan nostalgia di kalangan penonton. – Foto TRP/Azrol Ali

Sudah pasti, tidak lengkap persembahan Ramli seandainya lagu duet keramat, Doa Buat Kekasih yang pernah dipopularkannya bersama Datuk Khadijah Ibrahim lebih dua dekad lalu disampaikan bersama Siti.

Lagu berkenaan juga amat cocok dinyanyikan bersama Siti dan Ramli sekaligus membawa penonton menyelusuri laluan kenangan lalu mengimbau memori silam yang pernah tercipta sewaktu lagu itu menjadi siulan satu ketika dahulu.

Cuma, rasa canggung terbit di hati saya dan juga sebahagian besar audiens yang lain apabila Ramli dan Siti berduet menerusi lagu It Takes Two yang pernah dipopularkan oleh Marvin Gaye dan Kim Weston pada tahun 1966.

Apatah lagi, lagu berkenaan agak asing pada pendengaran audiens melainkan mereka yang hidup dalam zaman berkenaan. Alangkah baiknya jika lagu duet itu digantikan dengan lagu duet lain yang lebih mesra telinga agar penonton boleh menyanyi bersama.

Dengan bintang undangan iaitu pemain saksofon dan komposer terkenal, Jari, Ramli meneruskan persembahannya secara solo menerusi lagu Jikalau Berkasih dan Istilah Bercinta.

Klimaks persembahan konsert berkenaan adalah apabila Siti dan Hetty kembali ke pentas dengan menyampaikan lagu Berdiri Bulu Romaku dan Kuda Hitam yang terus menghangatkan Panggung Sari.

M2
Gandingan mantap tiga bintang ternama bertaraf legenda ini telah memberikan kepuasan maksimum kepada penonton yang hadir. – Foto TRP/Azrol Ali

Lebih-lebih lagi apabila Hetty dan Siti turun dari pentas dan beramah mesra serta mengusik penonton untuk menyanyikan bait-bait lirik lagu Berdiri Bulu Romaku yang membuatkan audiens terus teruja.

Mengakhiri persembahan, ketiga-tiga legenda itu kemudiannya menyampaikan lagu ciptaan Yasin Sulaiman, Lagu Rindu dan Temasya Desa Gemalai dengan penuh energetik terutama Hetty dan Ramli yang masih lagi mampu ligat di pentas dan beraksi lincah.

Ternyata, Konsert Satu Suara Volume 2 telah meninggalkan impak luar biasa dan seharusnya penyanyi generasi baharu tidak kira sama ada yang baru berkecimpung mahupun lama, mengambil peluang keemasan ini untuk menonton persembahan daripada tiga legenda yang tiada tandingan ini.

Mungkin ada yang berpendapat masih terlalu awal untuk meletakkan Siti Nurhaliza sebagai legenda tetapi mahu atau tidak, harus diakui bahawa dia sebenarnya sudah menjadi seorang living legend.

Akhir sekali, tahniah kepada Siti Nurhaliza dan syarikatnya SNP kerana menganjurkan dan menerbitkan konsert yang saya anggap sebagai salah satu yang terbaik untuk tahun ini.