KUALA LUMPUR, 6 November:

Tidak henti-henti si cantik manis Rossa ini ketawa ketika diajukan soalan yang sememangnya sudah begitu klise baginya.

Tertanya juga apakah empunya diri ini tidak pernah rasa bosan tentang soalan tentang hubungan akrabnya dengan penyanyi lelaki popular senegaranya, Afgan.

Namun, tidak pernah memberikan jawapan negatif untuk memberikan sebarang komen tentangnya, Rossa menjawab setiap soalan pihak media dengan penuh diplomasi.

Sekali lagi Rossa menjelaskan, hubungannya dengan Afgan tidak lebih daripada seorang sahabat baik dan menganggap penyanyi lagu Terima Kasih Cinta itu sebagai adiknya sendiri.

“Kami memang selesa untuk berkawan dan bukan hanya dengan dia, malah kami mempunyai kelompok tersendiri yang sering menghabiskan masa bersama.

“Tetapi saya akui, lebih banyak bersama dengan Afgan dan boleh dikatakan hampir setiap hari kami akan bertemu sama ada di gymnasium mahupun dia akan datang ke rumah saya.

“Anak saya, Rizky Langit Ramadhan juga sudah selesa dengannya dan percayalah, hubungan saya dengan Afgan tidak melibatkan soal cinta mahupun perasaan,” kata Rossa tanpa selindung sewaktu ditemui pada sidang media Konsert Pesona Cinta Datuk Rossa yang diadakan di ibu negara, Rabu lalu.

aaa-03-(M)
Rossa tidak mahu masyarakat umum menyalah anggap hubungan akrabnya dengan Afgan yang sudah disifatkannya sebagai adiknya sendiri. – Foto www.tabloidbintang.com

Malah jelas wanita berusia 37 tahun itu lagi, dia cukup sedar hubungan rapatnya dengan Afgan sering disalah ertikan dan ramai yang tidak percaya walaupun sudah acap kali memberikan jawapannya.

Akan tetapi, untuk Rossa, perkara itu bukanlah satu masalah buatnya kerana dia masih tahu menjaga batas hubungannya dengan Afgan sehinggakan teman lelakinya juga tidak mempunyai masalah akan perihal itu.

“Teman lelaki saya juga sedia maklum tentang hubungan kami dan dia biasa saja. Bahkan, saya lagi kerap bertemu dengan Afgan berbanding pacar sendiri,” jelas penyanyi lagu Aku Bukan Untukmu dan Tegar itu sambil ketawa.

Peluang bertemu dengan si genit ini juga diambil untuk bertanyakan status terkininya memandangkan sudah hampir lima tahun dia hidup sebagai seorang ibu tunggal.

Tidak berselindung, Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaini Handayani itu mengakui dia sudah menjalinkan hubungan serius dengan seorang ahli perniagaan Indonesia selama tiga tahun.

IMG_0948
Melewati fasa bahagia dalam hidupnya, Rossa mengakui hubungan dengan teman lelakinya berjalan baik dan pernah membicarakan soal rumah tangga. – Foto TRP/Azrol Ali

Buat masa ini, jelas Rossa, dia cukup selesa dengan hubungan cintanya itu dan turut mengakui pernah berbicara tentang soal perkahwinan bersama teman lelakinya itu.

“Akan tetapi, saya tidak mahu terburu-buru dan begitu juga dengan dirinya. Apatah lagi dengan kesibukan kami berdua dengan alam pekerjaan masing-masing membuatkan kami perlu memfokuskan apa yang perlu terlebih dahulu.

“Saya sedar sebagai seorang wanita normal, sudah menjadi fitrah untuk memiliki seorang sebagai pendamping bagi melewati hari-hari tua bersama.

“Namun, bagi saya, perkara itu bukanlah satu kemestian buat saya ketika ini kerana selain perlu terus bekerja, saya harus memberikan tumpuan kepada Rizky yang semakin membesar.

“Saya percaya Allah SWT telah menetapkan jodoh untuk setiap hambaNya dan bila sampai waktunya, seandainya sudah tertulis saya akan berkahwin sekali lagi, maka, saya menerimanya dengan reda,” kata Rossa yang merupakan pemenang trofi Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara Anugerah Industri Muzik sebanyak empat kali ini dalam nada berhemah.